MOSCOW: Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menahan seorang remaja selepas memuat naik video di TikTok yang mengandungi ancaman untuk melakukan jenayah di Taman Tsaritsyno, Moscow, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
FSB dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dijalankan dengan kerjasama Pengawal Kebangsaan Rusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jawatankuasa Siasatan susulan maklumat yang diterima daripada agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengenai persiapan serangan pengganas di Muzium Tsaritsyno, Moscow.
“Hasil siasatan, pihak berkuasa Rusia menahan seorang remaja warga Rusia yang memuat naik gambar dirinya di platform TikTok dengan memakai pakaian taktikal, penutup muka, topi, cermin mata hitam dan fon kepala sambil memegang objek menyerupai senjata automatik.
“Remaja itu turut memuat naik gambar yang diambil di Muzium Tsaritsyno dengan kapsyen ‘Saya sudah menemui lokasinya’,” menurut kenyataan itu.
FSB memaklumkan bahawa pemeriksaan di kediaman suspek menemukan pakaian dan aksesori yang digunakan dalam foto berkenaan.
Pemeriksaan terhadap peranti komunikasinya pula menemukan akaun TikTok yang digunakan untuk memuat naik ancaman, langganan saluran berfahaman neo-Nazi di aplikasi Telegram serta sejumlah besar carian berkaitan serangan pengganas, pembunuhan beramai-ramai dan keganasan lain yang pernah berlaku.
Menurut FSB, semua acara kebudayaan dan aktiviti awam di muzium serta taman berkenaan dibatalkan, manakala kawalan keselamatan diperketat sepanjang siasatan dijalankan.
“Kami berterima kasih kepada pihak Amerika atas maklumat yang dikongsikan,” menurut FSB.
-- BERNAMA-TASS