BISNES
Sektor pembuatan meningkat 4.8% tahun ke tahun pada April 2025

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan ini mencerminkan pemulihan permintaan domestik dan global, khususnya dalam komponen elektronik serta pemprosesan makanan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM160.6 bilion pada April 2025, berbanding RM153.1 bilion pada April 2024.
Bagaimanapun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi bulanan menunjukkan penurunan sebanyak 2.3 peratus berbanding Mac 2025 yang mencatatkan nilai RM164.3 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tahunan ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan dua angka dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau yang melonjak 11.1 peratus, diikuti oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik (9.8 %) dan produk logam serta mineral bukan logam (4.6%).
“Pertumbuhan ini mencerminkan pemulihan permintaan domestik dan global, khususnya dalam komponen elektronik serta pemprosesan makanan,” ujar beliau.Eksport terus menjadi pemacu utama, dengan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.3 peratus jumlah jualan, meningkat 5.3 peratus pada April 2025.
Antara penyumbang utama ialah pembuatan komputer, produk elektronik & optikal yang melonjak 10.6 peratus, serta pembuatan minyak & lemak daripada sayuran dan haiwan yang meningkat sebanyak 12.7 peratus.
Namun begitu, nilai eksport mencatat penyusutan 3.2 peratus secara bulanan.
"Industri berorientasikan eksport, yang menyumbang lebih 70 peratus daripada jualan, naik 5.3 peratus, manakala industri domestik meningkat 3.6 peratus.
"Kedua-duanya bagaimanapun mencatat sedikit penyusutan berbanding bulan sebelumnya," tambah beliau.
Dari segi tenaga kerja, sektor pembuatan merekodkan pertambahan 1.2 peratus bilangan pekerja kepada 2.40 juta orang berbanding April 2024, dengan peningkatan bulanan sebanyak 0.5 peratus.
Gaji dan upah pula naik 2.4 peratus kepada RM8.3 bilion, namun lebih rendah berbanding RM8.4 bilion pada Mac 2025, susut 0.9 peratus.
Purata nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM66,907 (naik 3.6%), manakala purata gaji bulanan mencecah RM3,460, meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun.
Sepanjang Januari hingga April 2025, jumlah nilai jualan mencecah RM636.2 bilion, naik 4.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami