PUTRAJAYA: Sektor peranti perubatan diunjur menyumbang RM20 bilion kepada ekonomi negara pada tahun ini, disokong oleh peningkatan pelaburan domestik dan asing dalam sektor tersebut.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) Dr P. Muralitharan berkata sektor itu menyumbang RM15.1 bilion tahun lepas yang merangkumi pelaburan asing dan domestik serta pengembangan perniagaan dan pemerolehan peralatan berkaitan.

"Kita dapati ada beberapa negara luar berhasrat untuk melabur dan memulakan operasi di Malaysia seperti Republik Czech dan China.

"Jadi unjuran kita dijangka dapat mencecah hampir RM20 bilion pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia (Asian Medtec) oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di sini, semalam.

Muralitharan berkata bahagian pasaran Malaysia dalam segmen teknologi perubatan dan peranti perubatan berjumlah kira-kira lapan hingga 10 peratus daripada pasaran global yang bernilai EUR536 billion (EUR1=RM5.13) pada 2021.

"Kami menyasar untuk meningkatkan bahagian pasaran kepada kira-kira 10 hingga 15 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, Asian Medtec memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama bagi pembangunan teknologi perubatan di Asia.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata kerajaan telah menyenaraikan sektor peranti perubatan sebagai salah satu sektor utama dalam Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 bersama-sama sektor utama yang lain.

"Ini merupakan kali pertama sektor ini diiktiraf di peringkat nasional sebagai salah satu sektor penyumbang ekonomi untuk merancakkan ekonomi negara," katanya sambil menambah sektor itu telah mewujudkan kira-kira 80,000 pekerjaan sejak 2010.

-- BERNAMA