IPOH: Satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) dalam daerah Kerian yang dibuka sejak Khamis bagi menempatkan mangsa banjir, ditutup pada 12 tengah hari ini.
Pegawai Daerah Kerian merangkap Pengerusi Jawatankuasan Pengurusan Bencana Daerah Kerian Saidi Shaari berkata hasil pemantauan mendapati, keadaan lokasi bencana di kawasan terbabit ketika ini telah selamat dan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua agensi kerajaan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang membantu dan menyelaras selia PPS dengan baik, sepanjang ia beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pagi tadi, 18 orang daripada tujuh keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Titi Serong, membabitkan penduduk dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1.
-- BERNAMA