Sebanyak RM18.9 bilion nilai pelaburan luar yang dibawa ke Selangor pada 2018 merupakan pertumbuhan 239 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjelaskan, ia sekali gus merupakan pelaburan tertinggi yang diterima negeri itu dalam satu tahun sepanjang 25 tahun yang lalu.

Katanya, angka pelaburan yang melebihi jangkaan itu diperolehi dari statistik pelaburan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Rekod pencapaian yang mengagumkan ini menjadi testimoni hebat bagi Selangor untuk kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia.

"Paling penting, Hong Kong berada di kedudukan ke-3 di kalangan negara-negara sumber pelaburan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM945.40b (USD225.44b)," katanya semasa menyampaikan ucapan aluan pada sesi dialog bersama Persatuan Pengimport dan Pengeksport Cina Hong Kong (HKCIEA) di sini.

Objektif program adalah untuk mewujudkan rangkaian perniagaan atau kerjasama perniagaan yang berpotensi antara Selangor dan Hong Kong.

Ia juga salah satu inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Kerajaan Negeri Selangor dan HKCIEA yang diketuai Bekas Ketua Eksekutif Hong Kong S.A.R, Leung Chun Ying.

Penubuhan HKCIEA pada tahun 1954 dengan misi mengumpul pemimpin perniagaan dari industri import dan eksport selain salah satu organisasi paling penting dalam industri utama perdagangan Hong Kong.

Dalam pada itu kata Amirudin, Selangor juga telah menyumbang 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang meningkat 6.8 peratus pada 2018.

"Ini merupakan pencapaian luar biasa yang meningkat daripada 22.7 peratus pada 2016 dan 23 peratus pada tahun 2017.

"Sementara untuk Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI), Selangor sejak 1987 lagi telah menarik pelaburan langsung asing dan domestik bernilai RM210.6 bilion melalui lebih daripada 7,900 projek.

"Melalui pelaburan ini, lebih daripada 700,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan," jelasnya.