Skip to main content

Bisnes

Selangor yakin catat nilai pelaburan lepasi paras RM100 bilion pada 2026 - Amirudin

SHAH ALAM, 17 Ogos -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Smartsel Sdn Bhd dan PG Linkaranfibre Sdn Bhd serta Penyempurnaan Projek Fiberisasi Cyberjaya di Hotel Concorde Shah Alam hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin berkata Selangor telah merekodkan pelaburan kira-kira RM70 bilion sehingga pertengahan tahun ini dengan trend pelaburan adalah amat memberangsangkan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SEPANG: Selangor yakin nilai pelaburan yang direkodkan oleh negeri itu pada tahun ini mampu melepasi paras RM100 bilion berdasarkan momentum positif ketika ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata negeri itu telah merekodkan pelaburan kira-kira RM70 bilion sehingga pertengahan tahun ini dengan trend pelaburan adalah amat memberangsangkan. 

“Kita meletakkan sasaran RM80 bilion sebagaimana pencapaian pada 2025 tetapi sampai di pertengahan 2026, kita sudah mencecah RM70 bilion.

“Dengan trend itu, kita sangat percaya kita akan dapat melepasi sasaran RM80 bilion. Malahan kalau trendnya sangat bagus, kita yakin kita boleh mencipta rekod lebih daripada RM100 bilion,” katanya dalam sidang media di majlis penyerahan Milikan Kosong (VP) Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di sini hari ini. 

Amirudin berkata pencapaian baik pelaburan Selangor ini turut didorong oleh strategi kerajaan negeri yang konsisten menjalankan misi pelaburan ke luar negara, termasuk ke Perancis, Jerman, Arab Saudi dan Korea Selatan, sekali gus membuktikan usaha menarik pelaburan dibuat secara meluas.

Beliau berkata pembangunan kawasan perindustrian baharu termasuk NSIP di Sepang serta pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey dijangka terus merancakkan aktiviti pelaburan di Selangor.

“Jika Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi seperti dijadualkan pada akhir tahun ini dan sebagainya, saya rasa ini semua akan merancakkan ekonomi di beberapa kawasan utara (Selangor),” katanya.

Mengenai NSIP, Amirudin berkata lebih 200 kilang dijangka boleh mula beroperasi selepas memperoleh kelulusan berkaitan dengan sebahagian besar syarikat yang terlibat ketika ini terdiri daripada perusahaan tempatan.

“Kawasan ini adalah sebahagian daripada Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS). IDRISS adalah apa yang kita masukkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“RS-1 bukan hanya perancangan di atas kertas tetapi penyerahan (projek yang) telah kita buat dan kita rasa sangat bangga sebab ia bukan hanya projek kerajaan, tetapi inisiatif daripada syarikat swasta yang turut mendapat bantuan dan juga sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

NSIP telah menerima pelbagai pengiktirafan meliputi kira-kira 368.26 hektar tanah dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan sebanyak RM10.2 bilion. 

Sebagai pembangunan sulung di bawah pelan induk IDRISS, NSIP kekal sebagai penyumbang utama kepada pembangunan di selatan Selangor.

Ia juga sebagai koridor perindustrian strategik untuk pelaburan berimpak tinggi dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mempercepat pertumbuhan sosioekonomi serta perindustrian di seluruh rantau itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement