PUTRAJAYA: Pengorbanan dan jasa lebih lima dekad dalam dunia seni, penyiaran dan pengulasan sukan akhirnya menerima pengiktirafan tertinggi apabila seniman tersohor negara, Datuk Rahim Razali, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2026.
Penghormatan berprestij itu disampaikan pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) yang berlangsung penuh gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Sabtu.
Rahim menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah industri penyiaran dan hiburan negara.
Lebih manis, pengiktirafan itu turut disertakan dengan hadiah sebuah Proton e.MAS 7 bernilai RM150,000, wang tunai RM10,000, sumbangan RM8,000 daripada CIMB serta pakej percutian tiga hari dua malam di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur bernilai RM1,000.
Ketika ditemui selepas majlis, Rahim nyata gagal menahan rasa syukur dan sebak apabila menerima anugerah yang disifatkannya sebagai penghormatan paling bermakna sepanjang perjalanan kerjayanya.
“Syukur, izinkan saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kementerian Komunikasi, khususnya kepada Fahmi Fadzil dan semua yang menghadiahkan saya anugerah ini.
“Inilah satu-satunya anugerah yang sangat saya kagumi. Saya berasa amat bertuah menerimanya selepas berpuluh tahun berkhidmat.
“Walaupun saya tidak pernah berkhidmat secara tetap bersama RTM, namun komitmen yang saya berikan adalah lebih daripada itu,” katanya.
Pengiktirafan tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar Rahim yang telah mewarnai landskap seni dan penyiaran negara sejak sekian lama.
Sepanjang kariernya, beliau dikenali sebagai anak seni serba boleh yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk lakonan, pengarahan, penerbitan, pengacaraan dan pengulasan sukan.
Keupayaannya menghidupkan pelbagai watak di layar perak dan kaca televisyen, selain peranannya membantu membentuk industri penyiaran tempatan, menjadikan beliau figura yang dihormati merentasi generasi.
Sementara itu, Anugerah Khas Juri menjadi milik Khiu Siaw Fong menerusi karya animasi Kumang And The Ungrateful Python.
Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM8,000 serta sebuah Perodua QV-E bernilai RM80,000.
ASA 2026 yang memasuki edisi ke-37 tahun ini mempertandingkan 60 kategori merangkumi televisyen, radio dan media baharu selain dua anugerah khas, berteraskan tema “Segalanya Bermula Di Sini.”
Majlis anugerah gilang-gemilang itu dikendalikan oleh gandingan pengacara popular Datuk Aznil Nawawi dan Sherry Alhadad, manakala konsep persembahan muzikal ala Broadway dipilih bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Jabatan Penyiaran Malaysia.