BISNES
Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia peka terhadap amaran penipuan - Industri perbankan

Media sosial menjadi saluran utama kesedaran, manakala bank dilihat semakin membantu selepas kejadian penipuan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia secara membaca amaran berkaitan scam (penipuan) secara aktif dengan tahap kepuasan meningkat kepada 73 peratus, menurut tinjauan dikeluarkan oleh Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Ringkasan AI
- Tinjauan oleh ABM dan AIBIM menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia aktif membaca amaran penipuan, dengan tahap kepuasan terhadap perlindungan sektor kewangan meningkat kepada 73 peratus.
- Majoriti responden menunjukkan kesedaran tinggi terhadap risiko penipuan seperti fail APK, SMS palsu dan pautan mencurigakan, serta tindakan proaktif seperti membekukan kad dan menghubungi bank.
- Media sosial menjadi saluran utama kesedaran, manakala bank dilihat semakin membantu selepas kejadian penipuan, dengan 76 peratus responden berpuas hati terhadap langkah perlindungan yang disediakan.
Berikut adalah hasil tinjauan berkenaan:
i) 92 peratus pengguna menyedari risiko memasang fail Android Package Kit (APK) yang tidak diminta.
ii) 85 peratus boleh mengenal pasti mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu.
iii) 79 peratus mengelak pautan yang mencurigakan.
iv) 82 peratus akan menghubungi bank mereka jika akaun mereka terjejas.
v) 77 peratus akan membekukan kad mereka melalui perbankan mudah alih atau dalam talian.
Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli berkata kempen itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai dan menekankan keperluan untuk berusaha melangkaui pendidikan dan beralih kepada kesiapsiagaan tingkah laku.
"Kami melihat perubahan positif dalam kesedaran dan kepercayaan orang ramai, bagaimanapun kami juga menyedari bahawa scammer (sindiket penipuan) mengeksploitasi perasaan ketakutan dan terdesak untuk mengatasi pemikiran rasional. Daripada tinjauan itu, kami mendapati 71 peratus responden takut kehilangan wang jika tidak mengikut arahan scammer sebagai faktor utama dalam kes-kes penipuan," katanya.
Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia juga menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap langkah perlindungan bank dengan 76 peratus responden menyatakan kepuasan terhadap keberkesanan keseluruhan bank dalam melindungi daripada penipuan, naik sebanyak 13 peratus berbanding tinjauan dilakukan sebelum ini.
Sementara itu, tiga daripada lima responden mendapati bank sangat membantu selepas penipuan berlaku, menunjukkan bahawa sokongan selepas kejadian semakin menjadi sebahagian daripada respons dipercayai.
Media sosial kekal sebagai sumber kesedaran penipuan paling kerap terutamanya di Facebook dan Instagram, tujuh daripada 10 rakyat Malaysia kini secara aktif berkongsi amaran penipuan dalam rangkaian mereka terutamanya menerusi WhatsApp, mencerminkan budaya kewaspadaan berasaskan komuniti semakin berkembang.
Presiden AIBIM Datuk Mohd Muazzam Mohamed pula berkata keputusan itu menunjukkan bahawa usaha kesedaran dijalankan membuahkan hasil positif tetapi pada masa sama tidak boleh selesa dengan keputusan tersebut.
"Sindiket penipuan sentiasa mengubah taktik mereka, justeru kita harus peka dengan perubahan mereka lakukan. Kami mahu mendidik rakyat Malaysia bukan sahaja dengan maklumat tetapi dengan naluri dan peralatan praktikal yang boleh mereka harapkan ketika merasa sangsi," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami