KUALA LUMPUR: Sentimen pengguna kekal rendah walaupun menjelang musim perayaan dan cuti sekolah yang pendek selepas pengguna terus berhati-hati dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan makroekonomi.

AmInvestments Bank Bhd melalui satu nota pada Jumaat menjelaskan, perbelanjaan pengguna untuk barangan mengikut budi bicara akan berhati-hati kerana kerajaan akan memperkenalkan beberapa cukai pada 2024, seperti cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang import bernilai rendah yang dijual dalam talian mulai 1 April, kadar cukai 5.0 peratus hingga 10 peratus ke atas cukai barang bernilai tinggi (HVGT) tertentu serta kenaikan 2.0 peratus dalam kadar cukai perkhidmatan iaitu daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus berkuat kuasa 1 Mac.

"Kami menjangkakan pemain runcit akan terus membuka kedai baharu serta menambah baik kepelbagaian penawaran dalam produk mereka. Ini adalah untuk menarik minat yang lebih tinggi di kedai mereka bagi mengekalkan hasil di tengah-tengah sentimen pengguna dan permintaan yang lebih lemah untuk barangan mengikut budi bicara," kata firma penyelidikan itu.

AmInvestment menyatakan bahawa Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan penurunan dalam indeks sentimen pengguna sebanyak 15 peratus dari tahun ke tahun kepada 89.4 mata berbanding suku keempat 2022.

"Walaupun inflasi kekal rendah, potensi rasionalisasi subsidi pada separuh kedua 2023 boleh meningkatkan tekanan inflasi di hadapan," katanya.

Oleh itu, AmInvestment Bank telah mengekalkan saranan 'neutral'nya terhadap sektor pengguna, yang berasaskan perbelanjaan berhati-hati pada masa hadapan, dipengaruhi oleh kecenderungan penurunan dagangan apabila pengguna mula mencari harga yang kompetitif atau barangan tidak berjenama.

"Risiko utama termasuk pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan, kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada jangkaan, peningkatan harga komoditi daripada unjuran dan ketibaan pelancong yang lebih perlahan daripada apa yang diramalkan," tambahnya. - BERNAMA