BISNES
SST: Semakan semula, peluasan skop secara bersasar mulai 1 Julai - MOF

pendekatan bersasar itu memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai, selain pelbagai kemudahan disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. - Gambar fail
Kerajaan akan melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
Langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Podcast ini dijana oleh AI menggunakan data yang sahih dan telah disemak mengikut piawaian kewartawanan AWANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan bersasar itu memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai, selain pelbagai kemudahan disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Tambahan hasil daripada penambahbaikan SST ini akan membolehkan peningkatan bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Antara langkah utama yang diumumkan termasuk:
Cukai Jualan (CJ)
- Kadar 0% dikekalkan bagi barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, beras, susu, ubat, buku, serta bahan binaan dan input pertanian.
- Kadar 5% dikenakan ke atas barangan pilihan seperti salmon, truffle, kain sutera dan jentera industri.
- Kadar 10% dikenakan ke atas barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Cukai Perkhidmatan (CP)
Skop CP diperluas kepada enam kategori baharu:
Sewaan/Pajakan – 8% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM500,000, dengan pengecualian untuk bangunan kediaman, PMKS dan pajakan luar negara.
Kerja Pembinaan – 6% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM1.5 juta, tidak dikenakan ke atas bangunan kediaman dan kemudahan awam.
Perkhidmatan Kewangan – 8% ke atas fi atau komisen, dengan pengecualian untuk perbankan asas, syariah dan pasaran modal.
Jagaan Kesihatan Swasta – 6% hanya untuk bukan warganegara; rakyat Malaysia dikecualikan sepenuhnya termasuk rawatan tradisional dan kesihatan bersekutu.
Pendidikan Swasta – 6% ke atas yuran melebihi RM60,000 setahun dan pelajar bukan warganegara; rakyat Malaysia dan OKU dikecualikan.
Perkhidmatan Kecantikan – 8% bagi syarikat dengan pendapatan ≥ RM500,000, termasuk rawatan muka dan dandanan rambut.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa tiada tindakan pendakwaan atau penalti akan dikenakan terhadap syarikat yang mematuhi perundangan SST sehingga 31 Disember 2025.
Maklumat lanjut termasuk garis panduan dan soalan lazim akan diumumkan melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami