Skip to main content

Politik

PRN Melaka: 189 borang penamaan calon dibeli, 45 sudah bayar deposit - SPR

Ramlan (tengah) meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon di Ballroom Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka Tengah, pada Jumaat.
Ramlan (tengah) meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon di Ballroom Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka Tengah, pada Jumaat.

Advertisement

MELAKA TENGAH: Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dibeli setakat malam tadi, dengan 45 bakal calon sudah mengemukakan bayaran deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu menunjukkan 45 individu berkenaan telah mengesahkan hasrat untuk bertanding pada PRN kali ini.

“Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru, semua bakal calon untuk hadir awal pada pagi esok di kesemua pusat penamaan calon (PPC) yang kita sediakan bagi memberi ruang untuk kita membuat semakan secara lebih terperinci bagi memasti semua calon yang berhasrat bertanding berpeluang untuk bertanding.

“Kita tak mahu ada masalah-masalah yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding dan sebagainya,” katanya selepas Meninjau Persiapan PPC di Ballroom Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Ramlan berkata, persiapan di kesemua 28 PPC di seluruh Melaka berjalan lancar dan berada pada tahap siap sepenuhnya.

Katanya, seramai 28 Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan bertugas di pusat berkenaan, dengan dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta pegawai-pegawai lain.

Menurutnya, semua pegawai terbabit telah diberikan latihan secukupnya bagi memastikan proses penamaan calon berjalan teratur, termasuk mereka yang pertama kali terlibat dalam pengendalian proses berkenaan.

“Semua pegawai pengurus kita yang dibantu oleh penolong-penolong pegawai pengurus dan pegawai-pegawainya telah pun diberi latihan secukupnya.

“Walaupun sebahagian itu adalah pegawai-pegawai yang terlibat kali pertama, berdasarkan pemerhatian kita, semuanya telah mendapat pengetahuan yang mencukupi bagi melaksanakan tugas ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, SPR turut mengambil maklum sebarang kelemahan yang berlaku dalam proses pilihan raya sebelum ini bagi memastikan pengurusan penamaan calon di Melaka dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula, Ramlan memaklumkan cuaca esok dijangka baik.

“Insya-Allah, cuaca pada hari esok akan baik dan proses penamaan calon akan berlangsung dalam suasana yang aman, tenteram serta tidak ada sebarang gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran majlis,” katanya.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan berlangsung esok (31 Oktober) dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di semua 28 pusat yang telah ditetapkan sementara Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16 telah ditetapkan pada SPR 14 November depan.

Must Watch Video

Advertisement