KUALA LUMPUR: Inventori minyak sawit pada akhir Mei menyusut apabila eksport melonjak ke paras 5 bulan tertinggi ekoran keputusan Indonesia menghentikan penghantaran, walaupun pengeluaran jatuh kurang daripada yang dijangkakan.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) seperti dilapor Reuters, data MPOB menunjukkan stok minyak sawit susut 7.37% daripada April kepada 1.52 juta tan metrik.

Pengeluaran, yang meningkat sejak 2 bulan lalu, turut mencatat penurunan 0.07% kepada 1.46 juta tan metrik.

Sementara itu, import pula menurun 33.9%. Eksport melonjak 26.67% kepada 1.36 juta tan metrik, tertinggi sejak Disember 2021.

Ini memandangkan peniaga beralih kepada minyak sawit Malaysia selepas Indonesia melaksanakan sekatan eksport selama 3 minggu.

Bagaimanapun, kadar eksport yang kukuh tidak mungkin dikekalkan pada Jun kerana Indonesia telah menukar pendirian dan kini bersiap sedia untuk mempercepatkan eksport sekurang-kurangnya 1 juta tan metrik minyak boleh dimakan itu.

Indonesia membuat pelbagai perubahan kepada peraturan eksportnya untuk menggalakkan penghantaran ke luar negara, termasuk mengurangkan cukai eksport dan levi keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani dalam laporan tersebut berkata, penyambungan semula bekalan Indonesia akan mengehadkan eksport Malaysia mulai separuh kedua Jun dan seterusnya, menjadikan angka pengeluaran sebagai kunci untuk harga bergerak.

Seorang peniaga yang berpangkalan di Malaysia pula berpendapat, inventori akan meningkat pada masa akan datang dan memberi tekanan kepada kontrak bulanan yang masih dengan premium yang lebih tinggi. - DagangNews.com