AYER KEROH: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan dibentangkan tidak lama lagi dan rakyat pelbagai peringkat termasuk golongan peniaga serta pemain industri meletakkan harapan tinggi ekonomi Malaysia berkembang maju dalam tempoh lima tahun.

Di Melaka yang terkenal dengan pelbagai produk pelancongan, penggiat industri berharap pelbagai sokongan dan peruntukan disalurkan kepada sektor berkenaan untuk memajukan lagi industri itu.

Malah, ramai yang mempunyai visi Melaka mampu melangkah ke arah sektor pelancongan berasaskan robotik dalam tempoh lima tahun akan datang, atau sekurang-kurangnya sudah mengadaptasi teknologi canggih dalam pelbagai urusan serta perkhidmatan.

BACA SEMUA BERHUBUNG RMK-12 DI SINI

Dalam pada itu, ada juga berharap penekanan diberi kepada ekopelancongan yang pada masa sama menekankan penjagaan alam sekitar supaya pengkomersialan tidak membawa kemudaratan.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madeline Kuah Mei Lee, dengan keadaan semasa terutama pandemik COVID-19 yang melanda dunia, segala perubahan tidak lagi mustahil.

Penggiat pelancongan di Melaka katanya perlu bersiap sedia untuk menghadapi perubahan tersebut, termasuk menggunakan robot dalam perkhidmatan.

"Di beberapa kopitiam sekarang sudah ada beberapa robot yang digunakan untuk hantar barang makanan. Jadi pelanggan duduk di meja, buat pesanan dan robot akan hantar makanan.

"Ia mengurangkan kontak antara pekerja dengan pelanggan. Jadi ini antara norma baharu. Artificial intelligence akan ganti banyak kerja selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin, tumpuan juga perlu diberi kepada sektor ekopelancongan di kawasan luar bandar dalam tempoh berkenaan.

Melaka jelasnya, kaya dengan destinasi pelancongan menarik di luar bandar seperti di Paya Lebar, Alor Gajah dan Bukit Batu Lebah di Jasin.

"Pada pandangan saya memang cerah... Melaka sangat unik kerana sejarahnya. Selain sejarah, di Melaka kita sekarang ada  banyak produk ekopelancongan yang berpotensi untuk dimajukan," katanya.

Beliau berkata, pembangunan produk ekopelancongan sedemikian bagaimanapun perlu sentiasa dipantau supaya tidak merosakkan alam semula jadi untuk generasi masa hadapan.