PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membangunkan segera satu mekanisme untuk mengkategorikan kumpulan atau individu yang akan menikmati subsidi bersasar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan dari segi ruang fiskal kecuali beralih kepada pelaksanaan subsidi bersasar.

Justeru, pelaksanaan subsidi bersasar kelak tegas beliau sudah tentu mengambil kira kesan kepada rakyat, walaupun kemungkinan besar akan berlaku kenaikan inflasi.

"Untuk memastikan bahawa mekanisme dan indeks (yang dibangun) itu adalah sesuatu berlaku adil, supaya tidak tercicir. Tetapi amat penting juga supaya ia dilaksanakan cepat, dan kita tak boleh sembang subsidi bersasar ini dua atau tiga tahun lagi.

"Soal sama ada inflasi ke tidak, sudah tentu keputusan dibuat, dari segi sokongan yang mana akan dipotong, sudah tentu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan agar kerajaan mengambil kira kesan inflasi dan kepada rakyat," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penerbitan indeks harga pengguna (IHP) November 2022 di kementeriannya pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Menurutnya, kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan menurut beliau, ia perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Ahli Parlimen Pandan itu menambah, subsidi dan bantuan kewangan secara bersasar tidak boleh diagihkan selagi mekanisme berkenaan tidak diwujudkan.

Katanya, mekanisme berkenaan perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk platform yang akan digunakan, data atau undang-undang sekiranya ia perlu dipinda.

Dalam pada itu, Rafizi berkata tarif purata asas penggunaan kemudahan gas yang perlu dibayar oleh pengguna gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) akan dikurangkan bermula 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2025.

Beliau berkata, penetapan tarif kemudahan gas yang ditetapkan oleh kerajaan bagi setiap tempoh kawal selia adalah sebahagian dari kerangka kawal selia pasaran gas di negara ini di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

"Tarif baharu kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) untuk tempoh tersebut melibatkan empat kemudahan gas iaitu terminal penggasan semula milik Regas Terminal (Sg. Udang) Sdn Bhd (RGTSU), terminal penggasan semula milik Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (RGTP), talian paip penghantaran milik Petronas Gas Bhd (PGB) dan talian paip pengagihan milik Gas Malaysia Distribution Sdn. Bhd. (GMD). 

“Penetapan purata tarif kemudahan gas bagi tempoh kawal selia kedua (RP2) dan pelarasan pendapatan serta purata tarif yang dibenarkan bagi tempoh tersebut adalah purata tarif asas bagi RGTSU kekal seperti mana tempoh kawal selia pertama (RP1) pada kadar RM3.455/gigajoule (GJ)/hari.

“Dan tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023,” katanya.

Rafizi berkata purata tarif asas bagi RGTP turut turun sebanyak 9.2 peratus pada kadar RM3.165/GJ/hari berbanding RM3.485/GJ/hari dalam tempoh RP1 dan tiada pelarasan pendapatan bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2023.

Sementara itu, purata tarif asas bagi PGB juga turun sebanyak 5.8 peratus pada kadar RM1.063/GJ/hari berbanding RM1.129/GJ/hari bagi tempoh RP1.