MALAYSIA
Ahmad Zahid adakan lawatan kerja lima hari ke New Zealand

Lawatan kerja Ahmad Zahid itu antara lain sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun antara kedua-dua negara. - Gambar fail/Bernama
AUCKLAND: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke New Zealand bermula esok hingga 18 Julai.
Ringkasan AI
- Memperkukuh Hubungan Diplomatik Dua Hala: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja lima hari ke New Zealand bermula 14 Julai, sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun antara kedua-dua negara.
- Fokus Kerjasama Strategik dan Serantau: Lawatan ini melibatkan pertemuan dengan pemimpin tertinggi New Zealand serta penyertaan dalam Forum Halal dan pemeteraian kerjasama pendidikan tinggi. Ia juga selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan.
- Libat Urus Komuniti dan Industri: Ahmad Zahid dijadualkan bertemu komuniti Malaysia di New Zealand, melawat Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan, serta mengadakan sesi meja bulat bersama komuniti Mori dan pemimpin industri tempatan.
"Lawatan ini turut melambangkan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mazita berkata ia termasuk lawatan kerja oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 2 hingga 4 Mei 2023 manakala kunjungan pemimpin New Zealand ke Malaysia pula antaranya oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Winston Peters merangkap Menteri Luar pada Jun 2024 serta lawatan rasmi Perdana Menteri Christopher Luxon pada Sept 2024.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri diiringi delegasi terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Kerajaan Malaysia termasuk Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mazita berkata antara pengisian utama lawatan Ahmad Zahid termasuk pertemuan dengan pemimpin tertinggi New Zealand pada 16 dan 17 Julai di Wellington.
Beliau berkata Ahmad Zahid dijangka bertemu Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro dan Timbalan Perdana Menteri New Zealand David Seymour, Menteri Luar Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka dan Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.
Lawatan ini juga merangkumi penyertaan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dalam Forum Halal anjuran bersama Kementerian Industri Utama New Zealand dan menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan New Zealand dalam kerjasama pendidikan tinggi.
"Selain itu ia turut melibatkan sesi libat urus bersama pemimpin industri dan perniagaan New Zealand termasuk Majlis Perniagaan ASEAN New Zealand dan Perbadanan Perusahaan dan Perdagangan New Zealand," katanya.
Mazita berkata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan melakukan lawatan ke Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan serta ke Sesi Meja Bulat bersama komuniti Maori di Rotorua.
Di samping itu, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama 250 orang komuniti Malaysia di New Zealand yang bermastautin dan menetap di negara ini.
"Lawatan ini dilihat amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025. la memberi peluang kepada Kerajaan Malaysia untuk berkongsi pencapaian awal, hala tuju serta keutamaan di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan" dalam kerangka serantau ASEAN.
"Lawatan ini sekali gus mencerminkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik, mempromosi kepentingan nasional serta mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan New Zealand," katanya.
Kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand adalah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2025 yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami