Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menjelaskan bahawa pelaburannya dalam Terbitan Sukuk Bandar Malaysia pada Februari 2014 dibuat kerana ia adalah pelaburan terjamin.

Sukuk berkenaan bersandarkan beberapa bidang tanah di Bandar Malaysia dengan liputan jaminan sekurang-kurangnya 1.67 kali, kata Ketua Pegawai Pelaburannya Abd Kadir Sahlan dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Kadir berkata sukuk itu telah diterbitkan untuk membiayai pembinaan kemudahan penggantian berhubung penempatan semula kemudahan pangkalan Tentera Udara Sg Besi.

Jumlah pelaburan TH, dalam dua bahagian Sukuk tersebut, ialah RM920.8 juta, dan akan menjana hasil, masing-masing sebanyak 5.85 peratus dan 6.05 peratus bagi tujuh dan 10 tahun.

Pada akhir tempoh pelaburan, TH akan menerima hasil berjumlah RM1.55 bilion dengan keuntungan sebanyak RM626.5 juta, kata Abd Kadir.