Geran keseluruhan bernilai RM 13 juta diberikan kepada 19 pemenang dari Siri Ketiga dan 7 pemenang dari Siri Keempat. Terdahulu, di mesyuarat MEB pada bulan April dan Julai 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan senarai 28 pemenang bagi SUPERB Siri Pertama dan Kedua di mana geran sebanyak RM 14 juta telah diperuntukkan. Dengan pengumuman senarai pemenang terbaru, keseluruhan geran SUPERB anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi tahun 2014 adalah RM 27 juta.
Bagi SUPERB Siri Ketiga dan Keempat, antara idea perniagaan yang berjaya adalah sistem firma perundangan ‘eCONVEY’, pengagihan penyelesaian tenaga boleh baharu, laman web pendidikan, produk kecantikan ‘Nature Kiss’, kedai pelikat pop-up, sistem pembiakan komersial ketam berkulit lembut, sistem tiket online ‘Crowd Malaya’ dan teknologi inovasi untuk arang ‘Biochar Pyrolysis’.
Para pemenang ini telah melalui pelbagai peringkat saringan dan saat-saat mencabar di mana mereka perlu berentap melalui ‘pitching’ di BizPitch Road Tour untuk mendapat tempat di peringkat separuh akhir. Peserta separuh akhir kemudian melalui satu Bootcamp di mana mereka diberi peluang latihan dan bimbingan oleh jurulatih berpengalaman selama tiga hari untuk menambahbaik dan memperhalusi pembentangan idea perniagaan masing-masing. Seterusnya, mereka mengharungi sesi ‘pitching’ peringkat separuh akhir dan akhirnya, peringkat akhir. ‘Pitching’ idea perniagaan mereka diadili tokoh usahawan Bumiputera termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, En Husni Salleh, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Dato’ Dr Ameer Ali Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim dan Yang DiPertua DPMM Negeri Sabah, Ybhg Datuk Awang Buhtamam.
Majlis turut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, En Husni Salleh bertukar dokumen perjanjian kolaborasi SUPERB bersama Pengerusi New Entrepreneurs Foundation (myNEF), En Ashran Dato' Ghazi bagi program SUPERBXCEL sambil disaksikan oleh YAB Perdana Menteri. Program SUPERBXCEL dicipta bagi melengkapi SUPERB dan mengoptimumkan manfaat kepada usahawan Bumiputera. Program ini memberi tumpuan kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang tidak melepasi saringan bagi program SUPERB. Setakat ini seramai hampir 100 orang peserta telah menyertai SUPERBXCEL dan menerima manfaat dari latihan yang disediakan.
Menyedari kepentingan bidang keusahawanan, program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) di bawah TERAJU telah dilancarkan pada Januari 2014 oleh YAB Perdana Menteri. Sejumlah RM 100 juta telah diperuntukkan untuk menghasilkan seramai 200 hingga 300 usahawan Bumiputera baharu dalam tempoh 3 tahun. Program ini bertujuan untuk membantu syarikat startup serta usahawan muda Bumiputera membawa idea perniagaan mereka yang kreatif dan inovatif berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.
TERAJU berkolaborasi dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO yang lain bagi memastikan bantuan sokongan diselaraskan bersama untuk memaksimakan penyertaan usahawan Bumiputera. Selain kolaborasi bersama myNEF, TERAJU juga telah memeterai kerjasama dengan Pusat Inovasi Global dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) dan menghantar 9 pemenang SUPERB ke University Stanford, California pada November tahun lalu melalui program e@Stanford. Kerjasama melalui program ini merupakan peluang yang amat berharga bagi usahawan muda Bumiputera dalam membuka peluang untuk menimba ilmu, membina ‘networking’ dan mendalami inovasi di Universiti Standford, salah satu institusi terkemuka dalam bidang keusahawanan.
Pemenang SUPERB BizPitch Siri Ketiga dan Keempat bergambar bersama Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. / - TERAJU