KUALA LUMPUR: Jumlah penyewaan di pusat beli-belah Suria KLCC dijangka sukar untuk bertambah disebabkan purata sewaan yang tinggi selain saingan yang semakin meningkat di kawasan sekitar, kata RHB Investment.

Katanya, cadangan KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) mengambil alih baki pegangan Suria KLCC Sdn Bhd adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kumpulan itu berhasrat mengembangkan pelaburan hartanahnya.

Firma penyelidikan itu berkata, prospek pusat beli-belah itu kekal menggalakkan kerana kadar penghunian telah pulih kepada 98% pada Disember 2023 berbanding paras terendah iaitu 92% pada FY22.

"Selepas menukar andaian kepentingan minoriti dan kos pembiayaan, kami menaikkan anggaran pendapatan FY24 dan FY25 antara 1% hingga 3%.

"Pusat beli-belah itu merupakan tempat tumpuan pelancong, dan kumpulan itu harus mendapat manfaat daripada peningkatan kadar kehadiran pelancong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai oleh pinjaman luar dan dijangka siap menjelang suku kedua 2024.

Suria KLCC merupakan destinasi beli-belah pengalaman ikonik Malaysia dengan lebih 350 kedai khusus daripada jenama fesyen global dan kedai utama kepada kegemaran tempatan.

RHB Investment berkata, sehingga September 2023, pinjaman KLCCP adalah sebanyak RM2.4 bilion terdiri daripada sukuk murabahah serta kemudahan pinjaman berjangka dan ia diterjemahkan kepada nisbah penggearan 13%.

Katanya, pengambilalihan itu dianggarkan meningkatkan nisbah penggearannya kepada 24% masih rendah berbanding 28% bagi sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) di bawah liputan mereka.

"Disebabkan saiz KLCCP dan nisbah penggearan relatif, kami berpendapat terdapat ruang yang cukup untuk memperoleh lebih banyak hartanah pada masa hadapan.

"Ini merupakan pengambilalihan pertama sejak pihak pengurusan melancarkan strategi pertumbuhan baharu tahun lepas," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM7.74 sesaham. - DagangNews.com