Tajikistan, sebuah negara tak berpantai di Asia Tengah kini mempergiat promosi pelancongan bagi menarik ketibaan pelancong Malaysia susulan langkah melonggarkan polisi menyeberangi sempadan selepas hubungannya dengan negara jiran Uzbekistan yang semakin pulih, kata Duta Besar Tajikistan ke Malaysia, Dr Muzaffar Muhammadi.

Beliau berkata setiap tahun antara 50,000 hingga 60,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Uzbekistan dan Kazakhstan.

Malangnya, terdapat beberapa masalah dalam menyeberangi sempadan mereka yang telah ditutup selama hampir 25 tahun berikutan hubungan 'dingin' kedua-dua negara.

Oleh itu, terdapat kesulitan untuk pelancong melawat Tajikistan, katanya.

"Tajikistan berharap dapat menawan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah pelancong Malaysia. Dalam tempoh tiga hingga lima tahun berikutnya, kami menjangka dapat menarik sekurang-kurangnya 25,000 hingga 30,000 pelancong ke Tajikistan," kata Muhammadi kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Hubungan antara Tajikistan dan Uzbekistan kini semakin mesra.

Ini berlaku apabila Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, mengambil alih kuasa susulan kematian pemimpin terdahulu, Islam Karimov, pada 2016, dan menyuarakan komitmen kerajaan beliau untuk menjalinkan hubungan yang lebih mesra dengan jiran-jiran Uzbekistan di Asia Tengah.

Semasa pemerintahan autokratik Karimov selama 27 tahun di negara paling ramai penduduk di Asia Tengah itu, hubungannya dengan Tajikistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Turkmenistan adalah tegang disebabkan pertikaian berhubung laluan transit, keselamatan sempadan, sumber air dan isu-isu lain.

Dilaporkan bahawa pada 10 Jan tahun ini, Tajikistan mahupun Uzbekistan telah bersetuju dengan perjalanan tanpa visa dan langkah-langkah menyeberangi sempadan yang lain.

Pada 1 Mac, 10 pusat menyeberangi sempadan telah dibuka semula di sepanjang sempadan Tajikistan-Uzbekistan selepas ditutup selama lebih 10 tahun.

Muhammadi berkata Tajikistan akan menjadi destinasi pilihan pelancong, terutama dari Malaysia, berdasarkan kedudukan ibu kotanya, Dushanbe, yang hampir dengan ibu kota Uzbekistan, Tashkent.

Kedua-duanya adalah berjiran dan hanya mengambil masa kira-kira sejam perjalanan untuk tiba ke sempadan masing-masing.

Sementara itu, dalam usaha memajukan industri pelancongan Tajikistan, Muhammad berkata kerajaannya berminat untuk menjalinkan usaha sama dengan pengusaha pelancongan Malaysia bagi memasukkan negara tersebut dalam pakej pelancongan mereka di Asia Tengah.

Ini seterusnya akan memberi manfaat kepada pelancong dengan pakej lebih murah, menjimatkan masa dan turut membolehkan mereka meneroka lebih daripada satu negara di rantau Asia Tengah.

Selain itu, Muhammadi berkata 2018 telah diisytihar sebagai Tahun Pelancongan dan Kraf Rakyat di Tajikistan oleh Presiden Emomali Rahmon memandangkan industri pelancongan adalah satu bidang yang penting bagi membantu memperluas pertukaran budaya dan rakyat dengan rakyat.

Berikutan usaha ini, duta itu berkata pihaknya merancang menganjurkan satu seminar pelancongan pada Ogos dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia untuk menghimpunkan agensi serta pengusaha pelancongan kedua-dua negara bagi membincangkan kemungkinan kerjasama dalam membangunkan sektor pelancongan.

Selain itu, beliau berkata industri pelancongan Tajikistan berminat untuk belajar daripada pembangunan fasiliti pelancongan Malaysia berikutan kejayaannya menarik ketibaan sejumlah 25 juta hingga 30 juta pelancong setiap tahun.

"Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam infrastruktur pelancongan. Kami ingin belajar dan turut membawa pakar-pakar Malaysia (ke Tajikistan) untuk membantu kami dalam membangunkan infrastruktur berkaitan.

"Tajikistan adalah sebuah negara bergunung-ganang, oleh itu, ia perlu membina infrastruktur yang baik di kawasan berbukit-bukit. Firma-firma Malaysia boleh membantu kami untuk membina fasiliti seperti kereta kabel, seperti yang terdapat di Genting Highlands atau Langkawi," katanya.

Meskipun sektor pelancongan Tajikistan tidak begitu membangun, potensi tarikan pelancongannya yang besar tidak boleh diabaikan.

Meskipun berkeluasan agak kecil, industri pelancongannya semakin popular kerana Tajikistan memiliki empat musim disebabkan topografi negara itu yang bergunung-ganang.

Tajikistan menempatkan beberapa puncak gunung tertinggi di dunia termasuk banjaran Pamir dan Alay serta Tasik Sarez di daerah Rushon dalam wilayah Gorno-Badakhshan, yang dibentuk pada 1911 selepas gempa bumi besar apabila Sungai Murghab tersekat akibat satu insiden tanah runtuh yang besar.



Diterjemah oleh Sabarina Baharom



-- BERNAMA