PUTRAJAYA : Tarif baharu Tarif Elektrik Hijau (GET) ditetapkan pada kadar 21.8 sen/kWj berkuat kuasa 1 Ogos ini, menyaksikan peningkatan lebih enam kali ganda berbanding kadar sedia ada. 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau, penetapan itu adalah berdasarkan kepada penanda aras harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk sama.

"Sementara itu, kadar pemium GET sedia ada iaitu 3.7 sen/kWj dikekalkan sehingga 31 Julai ini.

"Mengambil kira bahawa ketetapan baharu ini akan melibatkan peningkatan kepada kadar tarif premium GET sedia ada, pengguna sedia ada akan diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mengesahkan semula langganan. 

"Pengguna yang tidak memberi sebarang pemakluman akan ditamatkan langganan secara automatik,"  katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, pada Jumaat.

Nik Nazmi memaklumkan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melakukan penyesuaian terhadap bil elektrik bagi pengguna elektri yang terlibat. 

Katanya, had kuota 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini kepada langganan GET juga akan dimansuhkan.

"Ini bermaksud pengguna boleh melanggan GET sehingga 100 peratus keperluan tenaga," jelasnya.

Dengan ketetapan itu, katanya kerajaan berharap pengguna akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap program GET.

"Ini kerana proses penawaran dan kendalian program ini dilakukan berasaskan prinsip sistem penjanaan dan pembekalan elektrik hijau.

"Pada masa sama langganan GET turut memberikan nilai tambah dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara melalui pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalab elektrik negara," ujarnya.

Menurutnya, hasil kutipan daripada pelaksanaan GET itu akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara.

Selain itu, beliau memberitahu, pengguna GET akan diberi pengecualian caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT)  kerana penjanaan daripada TBB tidak melibatkan penggunaan bahan api fosil.

Program ini diperkenalkan pada 2022 iru merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam menawarkan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik TNB yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon.

Untuk tahun ini, penawaran langganan GET yang dibuka pada Februari lalu dengan jumlah kuota 6,600GWj pada kadar premium 3.7 sen/kWj habis dilanggan 2,361 pengguna dari kategori domesti, komersial dan industri.