BISNES
Tarif AS boleh seret turun pertumbuhan KDNK ASEAN-5 kepada 1.5 peratus tahun depan

Ahli ekonomi berpandangan kesan kumulatif terbabit meliputi kekurangan aliran pelaburan, eksport yang tidak memberangsangkan serta penurunan keyakinan perniagaan. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-5 dijangka turun kepada 3.0 peratus pada 2025 dan serendah 1.5 peratus pada 2026 sekiranya kesan kumulatif daripada tarif Amerika Syarikat (AS) berterusan, kata ahli ekonomi.
Ringkasan AI
- Pertumbuhan KDNK ASEAN-5 dijangka merosot ke 3.0% pada 2025 dan serendah 1.5% pada 2026, disebabkan kesan berterusan tarif Amerika Syarikat, termasuk kekurangan pelaburan dan eksport lembap.
- Malaysia berisiko terjejas secara serius, kerana 7.5% KDNK bergantung pada eksport ke AS dan sektor seperti peralatan elektrik serta hasil minyak semakin lemah.
- AS turut bakal menerima kesan negatif, dengan tarif tinggi menaikkan kos input, mengurangkan permintaan domestik dan menyukarkan pelonggaran dasar monetari.
ASEAN-5 meliputi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
"Lebih banyak kesan gangguan akan timbui daripada pelaburan pada 2025, manakala daripada eksport adalah kurang," katanya, seperti yang dipetik oleh CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan pada Rabu.
Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) pula akan menghadapi persaingan yang lebih sengit di rantau ini.
Ini berikutan AS meningkatkan usaha untuk membawa aktiviti pembuatan dan pengeluaran kembali ke dalam negaranya, dan menyebabkan aliran pelaburan dijangka semakin dialihkan keluar dari Asia Tenggara, katanya.
"Usaha membawa pulang pembuatan dan pengeluaran ini berkemungkinan "menyedut" modal yang sepatutnya masuk ke pasaran Asia yang sedang pesat membangun, sekali gus mencetuskan persaingan yang sukar bagi baki FDI yang tinggal," katanya.
Henderson menyuarakan kebimbangan sekiranya Malaysia berada dalam kedudukan yang rapuh, memandangkan 7.5 peratus daripada KDNK bergantung kepada eksport ke AS, dan eksport keseluruhan mewakili lebih dua pertiga daripada ekonomi negara.
"Negara ini berdepan tarif sebanyak 25 peratus, dan memandangkan hubungan rapat dengan China -- termasuk beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta penyertaan dalam inisiatif berkaitan BRICS -- tarif ini berkemungkinan tidak akan dikurangkan," katanya.
Selain kejutan perdagangan, pengeluaran minyak mentah Malaysia juga telah menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini merupakan satu faktor negatif tambahan kepada penurunan harga minyak, yang akan menjejaskan hasil kerajaan dan skop sokongan ekonomi domestik.
"Sektor eksport utama Malaysia, iaitu peralatan elektrik, adalah sangat mudah terjejas," katanya.
Henderson menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia turun di bawah 4.0 peratus pada 2025, dengan kemungkinan pertumbuhan KDNK menjadi lebih lemah pada 2026 sekiranya tarif tersebut terus dikekalkan.
Bagi AS pula, beliau berkata ekonomi terbesar dunia itu juga dijangka mengalami kesan negatif dari segi ekonomi, kerana regim tarif yang lebih tinggi akan meningkatkan kos input, mengurangkan permintaan domestik dan membawa kepada pertumbuhan KDNK yang lebih lembap.
"Selain itu, tarif tersebut akan menyebabkan keupayaan Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah dalam jangka pendek adalah terhad, sekali gus mewujudkan persekitaran dasar makroekonomi yang sukar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami