BISNES
Tarif AS: Pegawai berunding tapi akhirnya bergantung budi bicara Presiden – TKSU MITI
KUALA LUMPUR: Cabaran paling besar dalam proses rundingan tarif di antara pasukan perunding Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ialah rundingan di peringkat pegawai berlangsung tanpa sebarang kepastian.
Ringkasan AI
- Rundingan tarif antara Malaysia dan AS mencabar kerana keputusan akhir bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Presiden Donald Trump, walaupun rundingan teknikal telah dijalankan di peringkat pegawai.
- Malaysia perlu mengemukakan tawaran yang munasabah tanpa menjejaskan kepentingan negara, walaupun kedudukan rundingan tidak seimbang kerana AS hanya perlu menurunkan kadar tarif.
- Malaysia mencadangkan lima perkara utama termasuk tarif semasa, halangan bukan tarif, keselamatan digital, perolehan untuk kurangkan defisit perdagangan, dan isu keselamatan ekonomi AS; hasilnya, Trump menurunkan tarif import Malaysia daripada 25% kepada 19%.
“Perkara yang paling sukar adalah, meskipun berlaku rundingan di peringkat pegawai. Jawapan balas yang kita terima daripada pihak AS adalah akhirnya Presiden AS yang akan buat keputusan.
“Oleh itu, panggilan telefon antara Perdana Menteri dan Presiden AS pada 30 Julai lepas adalah amat kritikal.
"Ini kerana perbualan itu yang memungkinkan Presiden Trump memberi pertimbangan kepada tawaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tarif AS: Pegawai berunding tapi akhirnya bergantung budi bicara Presiden – TKSU MITI
Menceritakan lanjut mengenai proses rundingan antara kedua-dua negara yang telah berlangsung, Mastura berkata prinsip yang dipegang oleh Malaysia dalam setiap perbincangan adalah untuk memastikan tawaran yang dikemukakan adalah munasabah dan tidak menjejaskan kepentingan negara.Beliau akui ia merupakan suatu perkara yang mencabar pasukan perunding kerana kedudukan Malaysia dalam rundingan mengenai kadar tarif AS ini adalah tidak seimbang kerana Malaysia dilihat perlu menawarkan banyak perkara sedangkan AS hanya perlu menawarkan penurunan kadar tarif.
“Nampak seperti kita perlu tawar lebih banyak daripada AS, sedangkan mereka hanya perlu lakukan satu perkara sahaja iaitu mengurangkan kadar tarif.
“Kita perlu betul-betul timbang sama ada kita buat tawaran mencukupi untuk mengurangkan kadar tarif, dan pada masa yang sama kita tidak tawaran lebih-lebih.
"Kita juga tidak mahu tawarkan sesuatu yang boleh kepentingan dan kedaulatan negara,” ujarnya.
Menurutnya lima perkara yang dikemukakan Malaysia dalam rundingan tarif ini adalah berkait dengan kadar tarif semasa Malaysia ke atas AS; halangan bukan tarif; ekonomi dan keselamatan digital; perolehan atau pembelian bagi mengurangkan defisit perdagangan AS dengan Malaysia; dan sebarang hal lain yang dianggap menjejaskan keselamatan dan ekonomi AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (kanan) dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick (kiri) ketika rundingan kadar tarif di Washington pada Jun. - foto/MITI

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (empat dari kiri), Mastura Ahmad Mustafa (barisan depan, tiga dari kanan) dan delegasi MITI ketika lawatan kerja rundingan tarif di Washington pada Jun - foto/MITI

Rundingan perdagangan dan tarif antara delegasi Malaysia diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan rakan dagang dari Amerika Syarikat. - foto/MITI
Pada 31 Julai, Donald Trump mengumumkan pengurangan kadar tarif ke atas import dari Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Untuk konteks, pada tahun 2024, Malaysia berada di tangga ke-15 dalam senarai negara-negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS berjumlah USD 24.8 bilion, dengan 60.3 peratus eksport Malaysia ke AS terdiri daripada produk semikonduktor.
Pada tahun sama, catatan jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke Amerika Syarikat telah mencecah RM119.86 bilion, iaitu sekitar 20 peratus daripada keseluruhan eksport E&E negara.
Eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, mewakili sekitar 19 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia.
Industri ini melibatkan lebih daripada 72,000 tenaga kerja mahir dan disokong oleh lebih 7,200 pembekal tempatan, yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat besar.
Agenda AWANI: Tarif AS | Cabaran dan peluang untuk malaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami