Skip to main content

Bisnes

Tarif Trump: Kerajaan tak akan tergesa-gesa buat keputusan - PM

Anwar Ibrahim, Dewan Rakyat
Anwar menegaskan gesaan supaya Malaysia menilai semula pendirian berdasarkan keputusan Mahkamah Agung AS itu adalah wajar tetapi tidak boleh dibuat secara terburu-buru. - Foto JaPen

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik, sebaliknya akan menilai secara menyeluruh demi mempertahankan kepentingan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, gesaan supaya Malaysia menilai semula pendirian berdasarkan keputusan mahkamah itu adalah wajar.

Advertisement

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS baru diumumkan beberapa hari lalu.

Beliau menambah, perkara utama ialah memastikan kepentingan ekonomi dan perdagangan Malaysia terpelihara, sambil mengambil kira bagaimana negara-negara lain memberi respons serta kedudukan dasar domestik di AS.

"Kenapa kita nak terburu-buru? Kerana, Mahkamah Agung AS baru putuskan tiga hari lalu. Dan hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung AS? 

"Saya tidak setuju. Saya katakan apapun keputusan kita, kita kena teliti," katanya ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini yang meminta penjelasan sama ada perjanjian timbal balik Malaysia-AS akan dibatalkan.

Menurut Anwar lagi, pentadbiran AS masih mempunyai beberapa peruntukan lain yang boleh digunakan dalam urusan perdagangan, termasuk Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 dan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, selain kuasa Kongres yang masih belum dipastikan sama ada akan memperakui atau mengambil pendirian berbeza terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mempertikaikan sebarang keputusan yang telah dimuktamadkan, namun ketika ini beberapa perkara masih tergantung dan diperdebatkan dari sudut perundangan di AS.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, dijangka menilai semua aspek secara menyeluruh.

"Menteri-menteri telah ditugaskan untuk menyediakan maklumat dan analisis terperinci bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat adalah wajar dan berhemah," katanya.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif timbal balas diperkenalkan Donald Trump.

Mahkamah tertinggi AS itu memutuskan Trump melangkaui kuasa presidennya apabila pada tahun lalu menggunakan undang-undang darurat era 1970-an untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

 

Must Watch Video