BUSINESS
Tarif Trump: Malaysia ambil pendekatan ‘soft diplomacy’, akan hantar wakil ke AS untuk berunding - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar menghadiri pelancaran Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN untuk PKS dalam Rantaian Bekalan, sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Hubungan dagang Malaysia-Amerika Syarikat (AS) sekian lama mewujudkan keuntungan untuk kedua-dua pihak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, eksport negara ini bukan sekadar meningkatkan pertumbuhan ekonomi untuk Malaysia, tetapi juga mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi di Amerika.
Namun, beliau berkata, Malaysia enggan untuk berpegang kepada ‘megaphone diplomacy’ sebagai respons kepada impak pelaksanaan tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, sebaliknya akan mengguna pendekatan ‘soft diplomacy’ dalam rundingan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ‘soft diplomacy’, Malaysia akan menghantar wakil ke Washington untuk memulakan dialog rundingan.“Mungkin kita ada ruang yang terhad, tetapi masih ada skop untuk menyesuaikan diri dengan pelaksanaan polisi,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama bertajuk “ASEAN 2025: Forging a Resilient and Inclusive Future”, dan ucapan pelancaran Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN untuk PKS dalam Rantaian Bekalan, sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Selasa.
Pada masa sama, Malaysia, jelas beliau, akan terus menyesuaikan diri seperti biasa.
“Ribut mungkin melanda, tetapi kita tidak akan hanyut. Strategi mempelbagaikan perdagangan Malaysia sudah menunjukkan hasil.
“Walaupun Malaysia berhasrat untuk terus menjadi rakan dagang AS yang kukuh, pada masa yang sama Malaysia akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi kepentingan ekonomi.
“Ini termasuk berunding secara proaktif dengan Amerika untuk mencapai situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak, dan pada masa yang mempelbagaikan dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan pasaran utama merentasi Kesatuan Eropah, Asia, Timur Tengah dan Afrika,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak bahawa tarif Trump bukanlah cabaran kali pertama terhadap blok multilateralism seperti ASEAN dan ia tidak akan menjadi yang terakhir.
Namun, Anwar menegaskan, jika ASEAN mampu bertahan, terus bersikap terbuka, pragmatik dan saling bekerjasama, rantau ini mungkin menjadi antara yang terakhir yang percaya bahawa dunia akan berfungsi lebih baik apabila ia saling bekerjasama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami