BISNES
Tengku Zafrul gesa syarikat jadi dominan, berdaya saing di peringkat global dalam mendepani tarif

Tengku Zafrul berkata, perniagaan perlu terus menjadi peneraju di peringkat global dan tidak hanya bergantung pada pasaran domestik. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menggesa syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi dominan dan berdaya saing di peringkat global dalam mendepani tarif dan halangan perdagangan lain.
Beliau berkata perniagaan perlu terus menjadi peneraju di peringkat global dan tidak hanya bergantung pada pasaran domestik.
Katanya antara strategi yang diperlukan ialah syarikat melabur dalam sektor pembuatan di luar negara dan menjadikan produk mereka penting kepada pemain industri lain.
Selain itu, syarikat perlu menggunakan teknologi terkini, meningkatkan produktiviti dan cekap serta memastikan daya saing mereka setanding dengan standard global, katanya pada sesi bual santai di Forum Pembangunan Komuniti Perniagaan ASEAN (ABCD) di sini hari ini.Beliau menjawab soalan berhubung langkah untuk syarikat Malaysia boleh bersedia dari segi mental dan menghadapi cabaran yang wujud daripada tarif.
"Berdasarkan situasi di Amerika Syarikat (AS) dan pendirian perlindungan oleh negara lain, penting bagi syarikat Malaysia dan syarikat lain di ASEAN untuk 'kembali kepada asas'," katanya, merujuk kepada langkah Washington yang mengenakan tarif ke atas pelbagai negara, termasuk tarif sebanyak 19 peratus ke atas Malaysia.
Beliau berkata dengan menjadi dominan, "apa sahaja tarif yang dikenakan atau sekatan dari segi halangan bukan tarif, tidak akan menjejaskan syarikat."
"Jika produk anda merupakan satu keperluan dan syarikat berdaya saing, mereka akan tetap membelinya. Oleh itu, kita perlu memperkukuh syarikat kita," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pemilik syarikat, pemegang saham, usahawan dan ketua pegawai eksekutif yang mengendalikan syarikat perlu memastikan mereka bersedia dari segi asas untuk bersaing.
Beliau menegaskan pelan induk perindustrian kerajaan, tumpuan kepada pelaburan hijau dan kesemua strategi yang telah diumumkan oleh agensi dan kementerian bertujuan memperkukuh syarikat tempatan.
Tengku Zafrul berkata: "Sebagai contoh, kita perlu meningkatkan kadar produktiviti PKS dan memastikan mereka mampu bersaing di peringkat global."
"Angka terkini menunjukkan prestasi kita bertambah baik berikutan kedudukan daya saing dunia kita yang meningkat.
"Bagaimanapun, apabila melihat kepada angka produktiviti PKS di Malaysia (baru-baru ini), (kita mungkin) ketinggalan berbanding negara-negara seperti Vietnam dan Thailand," katanya.
Tengku Zafrul berpandangan kekurangan daya saing di peringkat global dan kebergantungan semata-mata pada pasaran Malaysia tidak akan melahirkan peneraju bertaraf dunia.
"Pasaran menjadi lebih berdaya saing dan dengan tarif, negara lain menjadi lebih melindungi. Jika kita tidak berdaya saing dan hanya bergantung pada Malaysia sebagai pasaran, kita akan menghadapi masalah.
"Bergantung pada Malaysia sebagai satu-satunya pasaran, 'tidak akan menjadikan kita sebagai peneraju di peringkat global.'
"Kita perlu bersedia, melabur dalam teknologi, penyelidikan dan pembangunan, bakat serta memastikan kita terus relevan," katanya.
Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), Tengku Zafrul berkata peranan kementerian ialah memastikan syarikat, terutamanya PKS memahami kaedah memanfaatkan FTA dan mempunyai akses kepada pasaran ini.
"Kita perlu mendorong PKS dan memastikan mereka bersedia. Inilah faktor kita perlu bergerak ke hadapan dan tidak terlalu bergantung pada satu pasaran sahaja, sebaliknya perlu mengembangkan dan mencipta peluang baharu dengan meneroka pasaran baharu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami