Skip to main content

Bisnes

TERAJU himpunkan lebih 70 agensi, RM190 juta pembiayaan syarikat Bumiputera Pantai Timur

[TB]_TERAJU OUTREACH 1_TERAJU
TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 turut menyaksikan Penyerahan Pembiayaan Strategik Bumiputera Expansion & Catalyst Fund (BECF). - Foto TERAJU
Advertisement

GAMBANG: Lebih 70 agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri dihimpunkan menerusi TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 dengan hampir RM190 juta pembiayaan telah diluluskan kepada syarikat Bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Program anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang itu bertujuan memperluas akses syarikat Bumiputera kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, khidmat nasihat serta jaringan strategik bagi mempercepat pertumbuhan perniagaan di Pahang dan Pantai Timur.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, yang mewakili Menteri Besar Pahang.

Amizar berkata peluang yang disediakan menerusi kerjasama TERAJU dan pelbagai pihak perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan untuk memantapkan keupayaan perniagaan masing-masing.

“Alhamdulillah di antara kerjasama-kerjasama ini, pihak TERAJU telah pun membentangkan banyak peluang-peluang, pinjaman dan juga bantuan termasuk soft skill dan juga hard skill kepada seluruh usahawan,” katanya ketika berucap pada TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026, di sini, pada Ahad.

Image
[INSERT]_TERAJU OUTREACH 2_TERAJU
Program pembiayaan TERAJU dari 1 Disember 2024 hingga 24 Julai 2026 merekodkan kelulusan RM1.81 bilion yang memberi manfaat kepada 1,192 syarikat Bumiputera di seluruh negara. - Foto TERAJU

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, fokus kini bukan sekadar menambah jumlah usahawan Bumiputera, sebaliknya memastikan lebih banyak syarikat mampu berkembang daripada perusahaan mikro kepada syarikat kecil, sederhana dan seterusnya peneraju industri.

“Kita mahu membesarkan usahawan. Kita tidak mahu sekadar menambah bilangan syarikat.

“Kita mahu melahirkan lebih banyak syarikat yang mampu mencipta nilai, menguasai rantaian bekalan, menembusi pasaran eksport dan menjadi peneraju industri,” ujarnya.

Beliau berkata, cabaran utama yang perlu ditangani ialah graduation gap, apabila ramai usahawan terus beroperasi sebagai perusahaan mikro walaupun telah lama menjalankan perniagaan.

Katanya, antara faktor yang menghalang pertumbuhan termasuk operasi tidak formal, rekod kewangan tidak lengkap, kelemahan pengurusan kewangan serta tahap produktiviti dan penggunaan teknologi yang masih boleh dipertingkatkan.

Dalam konteks Pahang, beliau berkata sebanyak RM28.78 juta telah diluluskan kepada 56 perusahaan menerusi pelbagai program pembiayaan TERAJU, manakala 73 syarikat negeri itu berdaftar dalam Portal Alumni TERAJU.

Bagi wilayah Pantai Timur pula, RM75.38 juta telah diluluskan kepada 58 perusahaan di Kelantan, manakala Terengganu merekodkan RM85.83 juta kelulusan kepada 73 perusahaan.

Secara keseluruhan, program pembiayaan TERAJU dari 1 Disember 2024 hingga 24 Julai 2026 merekodkan kelulusan RM1.81 bilion yang memberi manfaat kepada 1,192 syarikat Bumiputera di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, matlamat TERAJU adalah memastikan syarikat Bumiputera bukan sahaja berkembang, tetapi bersedia untuk mendapatkan pembiayaan, menarik pelaburan dan meneroka pasaran modal.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan syarikat Bumiputera bukan sahaja berkembang, tetapi juga berevolusi menjadi perusahaan yang boleh dilabur (investment ready), bersedia mendapatkan pembiayaan (bankable) dan mempunyai keupayaan untuk melangkah ke tahap seterusnya, termasuk meneroka pasaran modal serta penyenaraian di Bursa Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata, TERAJU Aspirasi Outreach merupakan pendekatan turun padang bagi membawa akses kepada pembiayaan, bimbingan dan rangkaian strategik terus kepada usahawan di kawasan operasi mereka.

Program yang bertemakan “Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera” itu turut menyediakan sesi padanan agensi bersama MARA, PUNB dan PKNP, selain sesi perkongsian PuTERA35, forum usahawan serta literasi kewangan.

Image
[INSERT]_TERAJU OUTREACH 1_TERAJU
Forum Keusahawanan yang menampilkan Pengarah Kanan, Bahagian Perniagaan & Keusahawanan TERAJU, Mohd Najib Jaafar mengupas pelbagai peluang pembiayaan, bimbingan dan sokongan keusahawanan rakyat Pahang. - Foto TERAJU

Menurut Junady, TERAJU turut menyediakan program pembangunan kapasiti menerusi pendekatan Super Scaler, termasuk ASCEND bagi mengukuhkan asas kewangan dan operasi, ENHANCE bagi meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan serta XCELERATE bagi membimbing syarikat berskala besar berpotensi tinggi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, Pahang terus mencatat momentum pertumbuhan ekonomi positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM71 bilion pada 2025 berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkembangan itu didukung Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30), yang memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti, industri bernilai tinggi, peningkatan produktiviti dan penciptaan peluang ekonomi baharu.

Kerajaan juga melihat perkembangan infrastruktur dan jaringan perhubungan, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi, sebagai peluang baharu untuk syarikat Bumiputera Pahang mengambil tempat dalam rantaian nilai dan pasaran yang lebih luas.

Selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan kerangka Ekonomi MADANI, TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 menjadi platform untuk menghubungkan usahawan dengan ekosistem pembiayaan, teknologi, pembangunan kapasiti dan pasaran supaya lebih banyak syarikat Bumiputera mampu berkembang secara mampan.

Must Watch Video

Advertisement