Lembaga Tabung Haji (TH) telah mencatatkan prestasi yang mampan dengan mencatat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, hasil daripada kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan pada akhir Disember 2018.

Bagi suku tersebut, TH berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta.

Dalam kenyataan hari ini, TH berkata kedudukan kewangannya semakin kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion, disokong oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan aset yang sihat setelah rosot nilai dibuat pada tahun 2018.

Menurut TH, pendapatannya djangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan Sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan pelaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu.

Dalam tempoh tiga bulan suku pertama, lebih daripada 91,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.3 juta, jelasnya.

"Sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji, operasi perkhidmatan pengurusan simpanan kekal lancar tanpa sebarang gangguan pada suku tersebut.

"TH merekodkan simpanan baharu sebanyak RM4.3 bilion manakala pengeluaran sebanyak RM4.6 bilion," katanya.

Di samping itu, memandangkan musim haji yang kian hampir, persiapan rapi giat dijalankan dalam suku tersebut, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk memastikan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua jemaah, katanya.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tahun ini, menurut TH adalah proses urusan prapelepasan di tanah air yang akan memendekkan tempoh menunggu di Terminal Haji Jeddah dan Madinah.

TH juga akan menyediakan khemah berhawa dingin di Arafah bagi memberi keselesaan beribadah serta menangani risiko gejala kesihatan akibat cuaca panas dan penyediaan sebahagian sajian hidangan sedia dimakan cita rasa tempatan semasa Masyair.

Penerbangan haji pertama bagi tahun ini dijadualkan berlepas pada 4 Julai depan dan penerbangan akhir pada 4 Ogos, tambahnya.

-- BERNAMA