KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.47 bilion bagi tempoh separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

TH berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.

Ini menunjukkan kepercayaan dan sokongan terhadap TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji masih kekal utuh, kata syarikat itu.

"Pencapaian ini mencerminkan daya tahan TH walaupun berhadapan dengan kesan selepas pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia," kata TH dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pendekatan pelaburan yang mengutamakan keselamatan pulangan mencerminkan komitmen TH untuk melindungi kepentingan para pendeposit dengan memelihara dan meningkatkan simpanan mereka.

Beliau berkata, TH sentiasa menghargai sokongan para pemegang taruhnya terutamanya pendeposit.

"Melangkah ke hadapan, TH akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap untuk memastikan agihan keuntungan yang mampan dan stabil untuk para pendeposit.

"TH juga akan terus fokus terhadap tahap tadbir urus, pematuhan dan integriti yang tinggi demi kebaikan TH dan pendepositnya," kata Amrin dalam kenyataan itu.

Menurut TH, sebahagian besar pendapatan diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta dalam tempoh separuh pertama 2022, merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

Pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta yang mencatatkan peningkatan RM41.27 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pelaburan ekuiti menyumbang 15.27 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta.

"Setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, TH mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021," kata syarikat itu.

TH berkata, penurunan keuntungan itu adalah setelah mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M.

Kos Haji bagi musim 1443H/2022M adalah sebanyak RM28,632 bagi setiap jemaah berbanding anggaran awal RM25,540 bagi setiap jemaah, manakala kos Haji bagi musim 1440H/2019M adalah sebanyak RM22,900 seorang.

TH tidak menghantar jemaah Haji dari Malaysia pada tahun 2020 dan 2021.

Perbelanjaan TH meningkat sebanyak RM134.42 juta pada separuh pertama 2022 kepada RM437.30 juta pada Jun 2022 berikutan Bantuan Kewangan Haji kepada para jemaah musim 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh syarikat itu.

Jumlah perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji dijangka meningkat kepada RM185.7 juta apabila musim haji 1443H/2022M tamat dalam suku ketiga nanti. - BERNAMA