TH Plantations Bhd menyangkal dakwaan badan bukan kerajaan (NGO), khususnya Greenpeace International, antaranya berkaitan penglibatan dalam pemusnahan hutan primer secara haram.

Menurut kenyataan TH Plantations pada Jumaat, dakwaan dibuat pihak tidak bertanggungjawab tersebut adalah tidak berasas dan mengelirukan.

"Kami mahu mengulangi bahawa syarikat melaksanakan perladangan berlandaskan pematuhan ketat dengan garis panduan dan kelulusan undang-undang serta pengawalseliaan kerajaan Malaysia dan Indonesia," menurutnya.

TH Plantations mengulas laporan media harian bertajuk "IOI drops TH Plantations amid Greenpeace controversy".

Ketua Pengarah Eksekutif, Datuk Seri Zainal Azwar Zainal Aminuddin berkata sebagai warga korporat bertanggungjawab dan beroperasi lebih 30 tahun, TH Plantations mahu mengesahkan bahawa ia tidak pernah terlibat atau diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa, atas sebarang kesalahan yang didakwa NGO berkenaan.

Bagi kawasan milik TH Plantations di Indonesia melalui anak syarikatnya PT Persada Kencana Prima, syarikat telah mendapat kelulusan pembangunan tanah daripada agensi kerajaan Indonesia pada 2011, sebagai kawasan dikecualikan daripada moratorium pembangunan tanah gambut, menurutnya.

Kawasan berkenaan juga diklasifikasikan sebagai "Areal Penggunaan Lain" (APL), iaitu kawasan bukan hutan yang dibenarkan untuk pembangunan pertanian.

Mengenai dakwaan pembakaran terbuka, TH Plantations berkata, ia melaksanakan Prosedur Operasi Standard bagi pembangunan tanah dan operasi perladangan, yang juga disepadukan dengan garis panduan ketat berkaitan sifar pembakaran.

"Dasar itu dikuatkuasakan secara ketat dan menjadi pegangan operasi kami di Malaysia dan Indonesia. Tidak pernah ada insiden di mana TH Plantations didapati melakukan pembakaran terbuka, sebaliknya hanya tuduhan berulang dan prasangka dibuat sebelum ini," kata TH Plantations.

TH Plantations turut menafikan dakwaan berkaitan penebangan hutan bagi pembangunan tanah.

Tanah yang dibangunkan merupakan kawasan sekunder dan dibalak secara berlebihan, oleh itu syarikat tidak melakukan pemusnahan hutan seperti didakwa, menurut TH Plantations.

"Kami telah mewujudkan zon penampan dan rizab yang kukuh dalam lingkungan ladang syarikat untuk memastikan pemeliharaan keseimbangan antara perladangan dan alam sekitar," menurutnya.

Selain itu, Amalan Pertanian Baik ditekankan secara konsisten dan berterusan sepanjang operasi TH Plantations untuk memastikan lagi syarikat mengekalkan persekitaran sihat di semua ladangnya.

Mengenai tuduhan TH Plantations terlibat dengan penggunaan buruh kanak-kanak, syarikat itu mengesahkan ia tidak menggaji individu di bawah umur bagi semua operasinya di Malaysia dan Indonesia.

Syarikat melaksanakan dasar amat ketat, yang melarang penglibatan buruh kanak-kanak, menurutnya.

"Kami kesal apabila para penggiat industri kelapa sawit bertanggungjawab diberi pengawasan yang tidak diperlukan serta berdepan tekanan keterlaluan berikutan tuduhan salah yang dibuat NGO tertentu," menurutnya.

TH Plantations bersedia untuk bekerjasama dan bersama-sama penggiat perladangan kelapa sawit bertanggungjawab yang lain dalam menangani tekanan ditimbulkan NGO berkenaan. - Bernama