Skip to main content

Politik

Bersatu sah guna logo PN di PRN Johor, Negeri Sembilan - Muhyiddin

PRN Johor, negeri sembilan, BERSATU, PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin tiba di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor pada Selasa, bagi mempengerusikan mesyuarat MPT Bersatu. - Gambar AWANI

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus menegaskan komitmen parti itu untuk terus kekal dalam gabungan berkenaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang berlangsung pada malam Selasa.

"Bersatu sebagai antara pengasas PN akan terus mempertahankan kedudukannya dalam gabungan tersebut yang disifatkan telah diterima baik oleh rakyat dan mempunyai jenama politik yang kukuh," katanya.

"Tiada mana-mana pihak boleh menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral kerana sebarang keputusan berkaitan keanggotaan perlu dibuat secara konsensus mengikut peruntukan perlembagaan gabungan itu", katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di di Menara Yayasan Selangor pada Selasa.

Mesyuarat turut dihadiri Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan, persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan telah digerakkan lebih awal termasuk lawatan ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi.

Menurutnya, Bersatu telah membuat keputusan berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi di kedua-dua negeri berdasarkan persetujuan yang dicapai sebelum ini.

Beliau yakin gerak kerja yang tersusun mampu membantu parti itu mencapai kemenangan pada pilihan raya negeri berkenaan.

Muhyiddin turut mengumumkan pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Johor akan diadakan pada 21 Julai ini di Bakri, Muar, selain memperkenalkan sebahagian calon berprofil tinggi yang telah dikenal pasti untuk mewakili parti itu.

Must Watch Video

Advertisement