KUALA LUMPUR: TH Heavy Engineering Bhd (THHE) mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd berhubung keputusan bursa untuk menyahsenarai sekuriti THHE.

Ia turut merayu supaya bursa mempertimbangkan kembali keputusannya yang tidak memberikan lanjutan tempoh lagi untuk THHE menyerahkan pelan penstrukturan semula.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu menjelaskan, pihaknya merayu tempoh itu dilanjutkan lagi selama sembilan bulan sehingga 22 Julai, 2022.

Pada 1 Dis lepas, Bursa Securities menolak permohonan THHE untuk melanjutkan tempoh lagi bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

Dagangan sekuriti THHE digantung mulai 9 Dis, 2021 dan sekuriti itu akan dinyahsenarai pada 13 Dis melainkan syarikat berkenaan mengemukakan rayuan pada Khamis, 8 Dis.

Penggiat industri minyak dan gas itu telah memperoleh beberapa lanjutan tempoh untuk mengemukakan pelan penstrukturan semulanya apabila ia berada dalam status PN17 sejak April 2017.

Ia menjadi penerbit yang terjejas selepas juruauditnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.

Menurut Bursa Securities, sekuriti THHE mungkin kekal didepositkan dengan Bursa Depository Sdn Bhd walaupun sekuriti tersebut dinyahsenarai.

-- BERNAMA