Skip to main content

Dunia

BRICS: Tiada deklarasi bersama, gabungan masih relevan, kata Mohamad

MOHAMAD HASAN
Mohamad berkata, kegagalan sidang BRICS mencapai deklarasi bersama tidak menjejaskan peranan blok itu sebagai platform penting mewakili negara Selatan Global. - Gambar Astro AWANI

NEW DELHI: Kegagalan sidang BRICS mencapai deklarasi bersama tidak menjejaskan peranan blok itu sebagai platform penting mewakili negara Selatan Global, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, keadaan geopolitik dunia yang semakin kompleks menyebabkan usaha mencapai kesepakatan bersama menjadi lebih sukar, malah situasi sama turut berlaku dalam ASEAN dan beberapa blok antarabangsa lain.

"Untuk mencapai kata sepakat dalam mengeluarkan kenyataan bersama memang sukar.

"Namun, kenyataan pengerusi sudah memadai dan cukup baik untuk melambangkan bahawa BRICS masih merupakan institusi yang mampu memainkan peranan mewakili negara Selatan Global," katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.

Mohamad turut berkata, kepelbagaian anggota BRICS termasuk Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Mesir menjadikan rundingan lebih mencabar kerana setiap negara mempunyai kepentingan tersendiri dalam isu tertentu.

Diplomat tertinggi negara-negara BRICS, termasuk Iran dan UAE, gagal mengeluarkan kenyataan bersama  selepas mesyuarat dua hari di Delhi, menyebabkan India selaku tuan rumah hanya mengeluarkan kenyataan pengerusi yang menyerlahkan perbezaan pendirian antara mereka.

Menurut India dalam kenyataan dan dokumen hasil mesyuarat itu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan beberapa anggota berhubung situasi di rantau Asia Barat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ASEAN juga pernah berdepan situasi sama apabila hanya mengeluarkan kenyataan pengerusi kerana gagal mencapai kesepakatan penuh berhubung isu tertentu termasuk Laut China Selatan.

Beliau menegaskan, keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam landskap diplomasi semasa kerana setiap negara mempunyai pertimbangan strategik dan kepentingan nasional masing-masing.

Must Watch Video