AirAsia menasihatkan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya sempena tempoh cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri, supaya berlepas awal ke lapangan terbang bagi mengelak terlepas penerbangan.

Dalam satu kenyataan, Air Asia menasihatkan penumpang supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan dan menyelesaikan semua urusan penerbangan masing-masing bagi mengelak terlepas penerbangan akibat kesesakan.

Penumpang dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pemeriksaan masuk layan diri menerusi web atau telefon mudah alih, 14 hari sebelum berlepas dan sehingga sejam sebelum masa penerbangan (bagi penerbangan AirAsia AK/FD/QZ/PQ), kata AirAsia.

Bagi penerbangan AirAsia X (D7), pemeriksaan masuk layan diri boleh dilakukan 14 hari sebelum berlepas hingga 4 jam sebelum jadual pelepasan, kata AirAsia.

Penumpang bagi penerbangan antarabangsa perlu terus memasuki kawasan pemeriksaan imigresen walaupun pemeriksaan masuk layan diri dan bagasi sudah dilakukan.

Syarikat itu juga berkata penumpang yang tidak boleh banyak bergerak dan berkeperluan khas, hanya dibenarkan memeriksa masuk di kaunter.

Pemeriksaan masuk juga diperlukan untuk tempahan kumpulan 10 atau lebih menggunakan nombor tempahan penerbangan yang sama (PNR), katanya.