BISNES
TikTok Shop catat lebih 100 juta carian produk sehari, pacu pertumbuhan e-dagang di Malaysia

TikTok Shop kekal komited dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui pembangunan ekosistem yang inklusif.
KUALA LUMPUR: TikTok Shop merekodkan trend kukuh dengan lebih 100 juta carian produk setiap hari oleh pembeli dalam talian tempatan, satu pencapaian penting yang dikongsikan dalam acara libat urus industri terbesarnya tahun ini, TikTok Shop Summit.
Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, keyakinan pengguna yang semakin meningkat telah mendorong trend baharu dengan pembeli menggunakan TikTok Shop bukan sahaja untuk penerokaan produk tetapi juga melibatkan pembelian secara terancang.
"Ekosistem e-dagang menyeluruh kami mempunyai keunikan tersendiri untuk membantu pencipta kandungan dan perniagaan pelbagai saiz, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jenama tempatan untuk berhubung dengan komuniti di seluruh negara menerusi konsep Shoppertainment secara berskala," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Nur Azre berkata, TikTok Shop kekal komited dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui pembangunan ekosistem yang inklusif dan menyokong usahawan dengan penyelesaian mudah diakses.Di TikTok Shop Summit, ribuan perniagaan tempatan, pencipta kandungan dan rakan ekosistem berkumpul untuk belajar, berkolaborasi serta membentuk masa depan e-dagang di Malaysia.
Peserta mendapat pendedahan secara langsung mengenai cara mengoptimumkan pertumbuhan melalui pelbagai penyelesaian baharu yang diperkenalkan TikTok Shop termasuk alat automasi GMV Max, ciri Affiliate Creatives for Ads (ACA), fungsi Opportunity Centre, promosi New Arrival Discount, alat Product Data Synchronisation, ciri Affiliate Link dan lencana Star Creator.
Platform ini turut meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian menerusi inisiatif seperti Pemulangan Percuma 30 Hari di TikTok Shop Mall, tawaran pilihan pembayaran yang lebih fleksibel melalui TikTok PayLater serta program rintis perkhidmatan Penghantaran Hari Berikutnya bagi lokasi terpilih di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
Sejak pelancaran TikTok PayLater di Malaysia, para penjual kini boleh menawarkan produk yang lebih mudah diakses kepada pelanggan yang diluluskan melalui had perbelanjaan diperibadikan dan penilaian kemampuan kewangan yang kukuh.
Usaha menyeluruh TikTok Shop dalam memperkukuh ekosistemnya untuk pembeli, penjual dan pencipta kandungan telah mendorong pertumbuhan berterusan dalam industri e-dagang tempatan yang ditunjukkan menerusi peningkatan jualan lebih 140 peratus tahun ke tahun semasa Jualan 6.6 pada Jun, lebih 100 peratus semasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada Mac serta lebih 90 peratus peningkatan tahun ke tahun semasa Jualan Huat Tahun Baharu Cina (CNY) pada Januari di TikTok Shop Malaysia.
Perniagaan tempatan digalakkan untuk memanfaatkan pelbagai alat dan sumber yang disediakan oleh TikTok Shop, berserta ilmu yang diperoleh daripad TikTok Shop Summit, bagi mencipta dan merebut "shoppable moments" terutamanya menjelang musim jualan mega hujung tahun yang akan datang.
Pembeli dalam talian di Malaysia boleh menjangkakan jumlah baucar diskaun platform daripada TikTok Shop meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun ini, manakala jenama di TikTok Shop Mall turut akan menikmati sokongan platform dua kali ganda pada separuh kedua 2025.
Usahawan baharu, PMKS serta jenama tempatan yang ingin mencapai pertumbuhan dengan pantas boleh mendaftar di Pusat Penjual TikTok Shop dan meneroka tutorial langkah demi langkah melalui Akademi TikTok Shop.
TikTok Shop ialah platform e-dagang sehenti yang membolehkan jenama berkembang dan menjual secara terus dalam TikTok melalui video pendek, acara siaran langsung membeli-belah dan pasaran melalui Shop Tab.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami