Skip to main content

Malaysia

Sambutan Hari Warga Emas 2026: Warga emas aset negara, pembangunan ekosistem penjagaan dipertingkat

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). - Foto JKM
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). - Foto JKM

Advertisement

AYER KEROH: Warga emas merupakan aset dan warisan berharga negara yang kaya dengan pengalaman serta kebijaksanaan, dan bukannya satu bebanan kepada masyarakat mahupun pembangunan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, pengorbanan dan kasih sayang golongan berkenaan menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat dan negara yang dinikmati generasi hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia telah menjadi ‘ageing nation’ (negara tua) sejak 2021.

Image
Sumber: JKM
Nancy menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka  (MiTC), pada Sabtu. - Foto JKM

Mengikut unjuran semasa, negara bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2036 apabila populasi penduduk berumur 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus daripada keseluruhan populasi.

“Warga emas bukan sekadar penerima manfaat, sebaliknya mereka merupakan warisan berharga negara yang kaya dengan pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan serta menjadi penghubung antara generasi.  

“Melangkah ke hadapan, KPWKM akan terus memperkukuh perlindungan, sokongan dan penjagaan, di samping memastikan warga emas terus dapat menikmati kualiti hidup yang baik, bermaruah dan sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, MITC, Ayer Keroh, pada Sabtu.

Penganjuran sambutan berkenaan diterajui oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka di bawah tema ‘Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni’.

Sambutan tahun ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perubahan demografi, memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga emas serta memperkukuh penglibatan dan kolaborasi strategik pelbagai pihak.

Majlis sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Warga Emas yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan intergenerasi.

Antaranya pameran perkhidmatan agensi, saringan kesihatan percuma, jualan produk keusahawanan warga emas, pertandingan sukaneka serta persembahan kebudayaan.

Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan Anugerah Khas Warga Emas 2026 sebagai pengiktirafan tertinggi kepada individu yang banyak menabur jasa kepada masyarakat.

Penerima anugerah khas berkenaan ialah Syed Amran Datuk Kaya Bakti Syed Omar, 71, yang disifatkan sebagai ikon kesukarelawanan dan kemanusiaan dari Negeri Perlis.

Image
Sumber: JKM
Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan Anugerah Khas Warga Emas 2026 sebagai pengiktirafan tertinggi kepada individu yang banyak menabur jasa kepada masyarakat. - Foto JKM

Syed Amran yang juga Timbalan Pemerintah St John Ambulans Negeri Perlis meluahkan rasa terharu dan menganggap pengiktirafan berkenaan sebagai pemangkin semangat untuk terus berkhidmat.

“Saya sangat berbangga dan luluh hati kerana diberi penghargaan yang tidak disangka-sangka ini yang mana saya tidak pernah mengharap apa-apa balasan atas bakti yang dilakukan, namun pengiktirafan ini menambah lagi semangat kesukarelawanan saya kepada masyarakat.

“Bagi saya, untuk kekal sihat kita perlu sentiasa berjalan dan berkhidmat dan kalau kita sentiasa duduk diam, kesihatan kita ini akan diuji di tapak kaki. Di hujung-hujung umur ini juga saya fikir kita perlu sentiasa menolong tanpa mengira masa,” katanya.

Pemegang ijazah dari universiti di Amerika Syarikat pada 1985 dan bapa kepada sembilan orang anak ini aktif dalam pelbagai misi bantuan bencana banjir dan COVID-19.

Beliau kini giat merangka program khas ‘Lawat, Rawat dan Siar’ khusus bagi menyantuni kebajikan serta sokongan emosi warga emas di seluruh Negeri Perlis, selain memperkasakan ekonomi belia tempatan menerusi projek keusahawanan desa.

Must Watch Video

Advertisement