KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) menafikan segala dakwaan dan tuntutan dalam notis timbang tara yang dibuat oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd bulan lepas berhubung ketiadaan pembayaran dibuat bagi penyediaan Televisyen Terestrial Digital (DTT), infrastruktur penyiaran dan kemudahan rangkaian.

"TM menafikan semua dakwaan dan tuntutan yang dibuat oleh MYTV dalam notis timbang taranya. TM seterusnya menafikan bahawa MYTV berhak mendapat mana-mana pelepasan yang diminta dalam notis timbang tara.

"MYTV tidak menyatakan butiran yang berkaitan dalam notis timbang tara mereka untuk membuktikan tuntutan itu untuk pelepasan dan remedi terhadap TM. TM mempunyai hak dalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Pada masa sama, TM membuat tuntutan balas terhadap MYTV untuk pelepasan terhadap caj tertungak RM90.2 juta dan RM5.54 juta untuk caj lewat pembayaran yang perlu dibayar oleh MYTV kepada TM menerusi perjanjian pada 25 Mac 2022.

Pada bulan lalu, MYTV menuntut pelepasan bagi beberapa perkara termasuk:

MYTV merupakan penyedia perkhidmatan dan rangkaian yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan pada 2016, TM menandatangani kontrak 15 tahun bernilai RM916.1 juta untuk menyediakan perkhidmatan kepada MYTV.

Menerusi perjanjian perkhidmatan itu, TM boleh mengambil bahagian dalam transformasi industri penyiaran dengan mewujudkan sektor penyiaran dinamik yang menawarkan lebih banyak pilihan dalam hiburan, TV interaktif serta program bermaklumat berkualiti tinggi.

Dilaporkan bahawa MYTV berhutang lebih RM60 juta kepada TM dan menyebabkan perkhidmatan di beberapa negeri sudah digantung. - DagangNews.com