ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Washington akan memastikan uranium diperkaya milik Iran dimusnahkan tanpa mengira sama ada perjanjian diplomatik dicapai atau tidak, lapor Anadolu Ajansi yang memetik NBC News.
“Kami akan mengeluarkan dan memusnahkannya, sama ada di tapak berkenaan atau selepas dipindahkan keluar dari tapak itu,” kata Trump kepada NBC News dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad.
Beliau menambah bahawa AS akan bertindak “dengan mereka atau tanpa mereka”.
Trump berkata AS akan mengeluarkan uranium diperkaya Iran “melalui tindakan ketenteraan, dengan amat tegas” sekiranya tiada perjanjian dicapai, sambil menambah: “Kita tidak akan berdepan serangan” sekiranya kedua-dua pihak “bergerak sehaluan.”
Presiden AS itu menegaskan bahawa teknologi pasukan Angkatan Tentera Angkasa kini memantau kira-kira 453.6 kilogram uranium diperkaya yang terperangkap di bawah runtuhan tapak yang sebelum ini menjadi sasaran serangan.
Mengenai rundingan damai yang sedang berlangsung, Trump berkata kedua-dua pihak “sangat hampir” untuk mencapai satu perjanjian, namun beliau menuntut satu klausa tambahan bagi menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear melalui apa jua cara.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian itu mesti menetapkan Iran tidak boleh “membeli atau memperoleh” aset nuklear daripada sumber lain. Beliau berkata Tehran sedikit membantah tuntutan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU