Telekom Malaysia Bhd (TM) merancang untuk meluaskan kawasan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Unifi ke perbandaran Seremban dan Rasah tahun depan.

Pengurus Besar TM Negeri Sembilan Ramlan Omar berkata ketika ini rangkaian HSBB TM terdapat di Nilai, Senawang dan Seremban 2.

"Kami akan melakukannya (peluasan) secara berperingkat dan sehingga kini, kami mempunyai 15,000 pas kediaman bersedia untuk melanggan perkhidmatan ini.

"Asas pelanggan kami di Negeri Sembilan berkembang kepada kira-kira 6,000," katanya kepada pemberita selepas memeterai tiga perjanjian perkhidmatan dengan Putra Nilai Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Nilai Resources Group Sdn Bhd, di sini hari ini.

Di bawah perjanjian itu, TM akan menyediakan prasarana rangkaian HSBB dan perkhidmatan kepada fasa terbaharu pembangunan kediaman Putra Nilai di Bandar Baru Nilai.

Melalui kerjasama tersebut, pembeli rumah fasa pembangunan terbaharu Putra Nilai akan menikmati perkhidmatan UniFi 5Mbps TM secara percuma sehingga dua tahun.

UniFi menawarkan perkhidmatan tiga perkhidmatan terdiri daripada Internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan Televisyen Protokol Internet TM, HyppTV dan suara, dengan kelajuan daripada 5Mbps sehingga 20Mbps melalui teknologi fiber.

Ramlan dan Naib Presiden Jualan, Pelanggan dan PKS Khaidir Elias menandatangani perjanjian mewakili TM manakala Putra Nilai Development diwakili Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Dr Gan Kong Seng dan Nilai Resources oleh Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Gan Eng Hong.

Ramlan berkata dengan kemudahan tersebut, pembeli baharu akan dihubungkan apabila mereka berpindah ke rumah baharu.

"Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan sokongan kami terhadap pembangunan perbandaran Putra Nilai tetapi juga sebagai bukti kepada komitmen kami untuk membawa sambungan HSBB kepada lebih ramai lagi pengguna di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu, Gan berkata dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM, fasa terbaharu Putra Nilai yang dilancarkan minggu lepas, Alpina, akan dibeli sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

"Kami bukan sahaja menyediakan rumah, tetapi Kediaman Pintar, supaya penduduk dapat menikmati semua kemudahan di hujung jari mereka.

"Setiap kediaman di fasa Alpinia, Amallis dan Damai Florestar akan dihubungkan dengan UniFi untuk melaksanakan janji-janji ini kepada pembeli," katanya.