Skip to main content

Malaysia

NGO Islam perlu pelbagaikan sumber pendanaan

Zulkifli berkata, NGO Islam juga perlu memperkukuh keupayaan dalam aspek tadbir urus, integriti dan pengurusan kewangan bagi memastikan organisasi berkenaan diurus secara profesional  - Gambar fail
Zulkifli berkata, NGO Islam juga perlu memperkukuh keupayaan dalam aspek tadbir urus, integriti dan pengurusan kewangan bagi memastikan organisasi berkenaan diurus secara profesional - Gambar fail

Advertisement

Advertisement

PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu mempelbagaikan sumber pendanaan bagi memastikan kelangsungan serta memperkukuh keupayaan organisasi masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, keupayaan menjana dana secara profesional perlu disertai ilmu dan kemahiran dalam pengurusan kewangan, tadbir urus serta integriti bagi memastikan setiap sumbangan diuruskan dengan amanah.

Zulkifli berkata, menerusi pengenalan Sijil Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam, pertubuhan terlibat akan dilatih mengenai kaedah mendapatkan dana secara profesional daripada pelbagai sumber.

Advertisement

"Antara yang kita inginkan menerusi sijil profesional ini ialah NGO kita dilatih bagaimana menjana atau mendapatkan dana secara profesional, sama ada daripada sektor kerajaan, awam, swasta mahupun di peringkat antarabangsa.

"Kita juga sedang meneroka beberapa peluang untuk mendapatkan dana antarabangsa, namun ia tetap tertakluk kepada peraturan dan undang-undang negara," katanya pada Majlis Penutup Kursus Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam, di sini, pada Ahad.

Advertisement

Zulkifli berkata, NGO Islam juga perlu memperkukuh keupayaan dalam aspek tadbir urus, integriti dan pengurusan kewangan bagi memastikan organisasi berkenaan diurus secara profesional serta menjadi penanda aras kepada pertubuhan lain.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan NGO Islam bukan sahaja berperanan membantu masyarakat, malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"NGO Islam mesti mempunyai ilmu dan pengetahuan dan juga pengalaman bagi menguruskan aspek-aspek kewangan dan tatakelola. 

"Hal ini untuk memberikan satu gerak kerja baru kepada NGO Islam supaya NGO Islam ini akan menjadi kayu ukur, penanda aras kepada pertubuhan-pertubuhan yang lain dari sudut tatakelola dan integriti termasuk aspek kewangan mereka," katanya.

Kursus Profesional Tadbir Urus Kewangan NGO Islam yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 150 peserta daripada kalangan pengurusan tertinggi NGO.

Kursus anjuran bersama Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dengan kerjasama Universiti Antarabangsa MAIWP itu merangkumi pengurusan dana, perancangan kewangan strategik, pematuhan perundangan, perolehan serta dokumentasi dan pelaporan kewangan.

Zulkifli berkata, program berkenaan akan diteruskan dengan siri latihan seterusnya yang merangkumi aspek pendanaan, pengurusan risiko dan kelestarian bagi membentuk pendekatan pengurusan NGO yang lebih sistematik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement