PUTRAJAYA: Pembukaan berterusan sektor ekonomi penting untuk mencegah kegagalan rantaian bekalan bagi produk dan perkhidmatan perlu yang digunakan rakyat.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, meskipun ada keperluan untuk mengawal COVID-19 secara efisien namun keperluan untuk mencegah gangguan kepada rantaian sektor pembuatan juga perlu diberi perhatian.

Menurutnya, berdasarkan penelitian daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0), kerajaan kini membenarkan rantaian nilai barang-barang keperluan, seperti pembungkusan dan pelabelan, untuk beroperasi.

BACA: 'Total lockdown' seluruh negara bermula 1 Jun - Perdana Menteri

“Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini mengenai sektor yang dibuka semasa PKP 3.0 merangkumi sektor ekonomi yang strategik seperti industri aeroangkasa, Minyak & Gas, Pembuatan serta Elektrikal & Elektronik (E&E).

“Pembukaan sektor E&E, sebagai contoh, adalah pengiktirafan bahawa ribuan komponen yang dihasilkan oleh sektor ini membolehkan operasi berterusan infrastruktur kritikal di seluruh dunia.

“Komponen E&E yang dihasilkan di Malaysia juga telah memudahkan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baru,” menurut kenyataan itu.


Total Lockdown | Bantuan kewangan kepada golongan sasar

Begitupun, kerajaan akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan kilang E&E Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tegas termasuk had kehadiran fizikal di tempat kerja sehingga 60 peratus.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, pada tahun 2020, sekitar RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan yang akan mewujudkan 20,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Justeru, sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek akan menjejaskan bekalan keperluan industri di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.


PKP 3.0 tidak beri kesan buruk seperti PKP 1.0

“Ini juga akan memberi kesan jangka panjang di mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia, dan menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0 apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China,” ujarnya.