Skip to main content

Malaysia

Struktur lama 'bottleneck' punca runtuhan jambatan Jalan Gajah Utama - MB Selangor

Amirudin meninjau keadaan jambatan Jalan Kubu Gajah yang runtuh akibat hakisan susulan hujan lebat sehingga menyebabkan arus Sungai Subang menjadi deras di Paya Jaras, hari ini.  -fotoBERNAMA
Amirudin meninjau keadaan jambatan Jalan Kubu Gajah yang runtuh akibat hakisan susulan hujan lebat sehingga menyebabkan arus Sungai Subang menjadi deras di Paya Jaras, hari ini. -fotoBERNAMA
Advertisement

SUNGAI BULOH: Struktur jambatan lama yang sempit sehingga menjadi perangkap aliran air atau bottleneck dikenal pasti antara punca runtuhan jambatan di Jalan Gajah Utama, Kubu Gajah merentasi Sungai Subang, di sini awal pagi tadi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keadaan itu berlaku susulan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di jajaran Sungai Subang yang telah siap dan melebarkan saiz sungai berkenaan kepada 40 meter, namun saiz jambatan sedia ada masih mengekalkan struktur lama.

Beliau berkata pertembungan hujan lebat berterusan, paras air sungai yang tinggi serta fenomena air pasang lewat malam semalam mengakibatkan limpahan air deras sehingga meruntuhkan struktur jambatan kira-kira 2 pagi tadi.

Advertisement

"Kesan runtuhan tersebut melibatkan kelebaran kira-kira 20 meter dan turut mengakibatkan limpahan air ke kawasan penempatan perumahan berdekatan yang menjejaskan kira-kira 50 keluarga setakat ini.

"Jambatan ini memang sudah tiba masanya untuk diubah dan diganti susulan kelebaran sungai yang telah bertambah," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi runtuhan berkenaan di sini hari ini.

Advertisement

Mengulas langkah penyelesaian segera, Amirudin berkata sebuah jambatan sementara jenis “Bailey” sepanjang 35 meter akan dipasang dalam masa terdekat bagi memulihkan perhubungan penduduk setempat.

Beliau berkata pemasangan jambatan sementara itu memanfaatkan stok sedia ada milik kerajaan negeri dan tidak melibatkan kos sewaan.

"Pemasangan dijangka bermula dalam tempoh satu hingga dua hari ini sebaik sahaja kerja pengalihan tiang elektrik ke bahagian sebelah selesai dilakukan oleh pihak berkaitan.

"Kerja-kerja pemasangan ini dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu. Sementara itu, pengguna boleh menggunakan beberapa laluan alternatif yang telah diatur oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Amirudin memaklumkan kelulusan projek pembinaan jambatan kekal baharu bernilai kira-kira RM20 juta telah diperoleh dan pembinaannya dijadualkan bermula awal tahun depan yang dijangka mengambil masa sehingga dua tahun berikutan proses pengalihan utiliti.

Runtuhan struktur jambatan berkenaan menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah ke Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan, sekali gus memberi kesan kepada lebih 1,000 penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement