Skip to main content

Malaysia

Dewan Rakyat: Kerajaan galak penyertaan rakyat dalam ekonomi digital dan perkongsian

Mohd Shahar (foto) berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelbagai ikhtiar akan diteruskan kerajaan dalam mewujudkan peluang yang saksama dari perspektif pelbagai dimensi, termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup isi rumah tersebut. -Gambar fail/Bernama
Mohd Shahar (foto) berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelbagai ikhtiar akan diteruskan kerajaan dalam mewujudkan peluang yang saksama dari perspektif pelbagai dimensi, termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup isi rumah tersebut. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan penyertaan rakyat dalam ekonomi digital dan ekonomi perkongsian bagi meningkatkan penglibatan isi rumah berpendapatan rendah dalam aktiviti penjanaan pendapatan melalui penggunaan teknologi.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pelbagai ikhtiar akan diteruskan kerajaan dalam mewujudkan peluang yang saksama dari perspektif pelbagai dimensi, termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup isi rumah tersebut.

“Antara ikhtiar dilaksanakan termasuk Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan bantuan sosial secara bersasar.

Advertisement

“Turut dilaksanakan ialah pengukuhan model pelaksanaan keusahawanan mikro, koperasi dan perusahaan sosial khususnya di lokasi (mencatatkan) kadar kemiskinan tinggi dan di kawasan pedalaman bagi meningkatkan penjanaan pendapatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin mengetahui strategi kerajaan dalam menangani isu kemiskinan. 

Advertisement

Mohd Shahar berkata kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan gaji benar, kuasa beli dan mobiliti pendapatan rakyat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendekatan itu merangkumi peningkatan gaji benar, pengukuhan kuasa beli, mobiliti pendapatan dan usaha merapatkan jurang antara kelompok pendapatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement