Bab Perkhidmatan Kewangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menyediakan peluang akses pasaran rentas sempadan dan pelaburan yang penting.

Ia juga akan memastikan negara-negara anggota mengekalkan keupayaan untuk mengawal selia pasaran dan institusi kewangan dan mengambil langkah kecemasan sekiranya berlaku krisis.

Mengikut teks perjanjian akhir yang dikeluarkan hari ini, Bab itu termasuk obligasi teras yang didapati dalam perjanjian perdagangan lain termasuk layanan nasional; layanan negara yang paling diutamakan; akses pasaran dan peruntukan tertentu di bawah bab Pelaburan, termasuk standard layanan minimum.

Ia menyediakan bagi jualan perkhidmatan kewangan tertentu rentas sempadan tanpa memerlukan pembekal membuka operasi di negara lain.

"Pembekal boleh menyediakan perkhidmatan kewangan baharu dalam pasaran TPP lain sekiranya syarikat domestik di pasaran itu dibenarkan berbuat demikian," menurut teks itu.

Negara-negara yang terlibat dalam TPP juga menggariskan peraturan yang mengiktiraf secara rasmi kepentingan prosedur kawal selia bagi mempercepatkan penawaran perkhidmatan insurans oleh pembekal berlesen dan prosedur untuk mencapai hasil ini.

Komitmen khusus bagi pengurusan portfolio, perkhidmatan kad pembayaran elektronik dan pindahan maklumat bagi pemprosesan data juga dimasukkan.

Bab Perkhidmatan Kewangan menyediakan resolusi pertikaian berkaitan dengan peruntukan tertentu menerusi timbang tara pelaburan yang neutral dan telus.

Antaranya, peruntukan khas bagi pertikaian pelaburan berkaitan dengan standard layanan minimum, peruntukan memerlukan penimbang tara mempunyai kepakaran kewangan, dan mekanisme khas Negara-kepada Negara bagi memudahkan penggunaan pengecualian berhemat dan pengecualian lain dalam Bab ini dalam konteks pertikaian pelaburan.

Ia juga termasuk pengecualian untuk melindungi budi bicara meluas bagi pengawal selia kewangan TPP untuk mengambil langkah menggalakkan kestabilan kewangan dan integriti sistem kewangan mereka, termasuk pengecualian berhemat dan pengecualian langkah bukan diskriminasi untuk meneruskan dasar monetari atau dasar tertentu lain.