KUALA LUMPUR: Transaksi e-pembayaran meningkat sebanyak 31.5peratus kepada 9.5 bilion pada tahun 2022 berbanding 7.2 peratus pada tahun 2021, sejajar dengan perkembangan yang berterusan dalam penggunaan swasta berikutan pemulihan dalam aktiviti perniagaan dan pelancongan.

Menurut Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, setiap rakyat Malaysia membuat 291 transaksi e-pembayaran secara purata pada tahun 2022.

"Sebanyak dua pertiga daripada transaksi kad kini dilakukan secara tanpa sentuhan, manakala hasil daripada pelbagai inisiatif yang diterajui industri untuk menggalakkan penggunaan pembayaran melalui kod QR sebagai kaedah pembayaran dengan kos yang berkesan, penerimaan DuitNowQR juga semakin meluas dalam kalangan peniaga, khususnya pengusaha mikro, kecil dan sederhana dengan 1.6 juta peniaga pada 2022," katanya.

BNM juga berkata penggunaan cek terus menurun pada tahun 2022 pada kadar 46.1juta berbanding 48.3 juta pada tahun 2021.

"Sementara itu, pengeluaran wang tunai daripada Mesin Juruwang Automatik (ATM), yang lazimnya digunakan sebagai proksi kepada penggunaan wang tunai, meningkat secara sederhana kepada 798.5 juta transaksi bernilai RM404.7 bilion.

"Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan tahunan bagi pengeluaran wang tunai daripadaATM kekal di bawah paras sebelum pandemik, lantas mencerminkan peralihan secara beransur-ansur daripada penggunaan wang tunai," katanya.

Sementara itu, jumlah pengiriman wang ke luar negara meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada RM28.5 bilion, didorong oleh transaksi pengiriman wang yang lebih tinggi oleh pekerja asing apabila ekonomi mula kembali pulih pada tahun 2022.

"Bank telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan rangka kerja pengawalseliaan menyokong pembangunan ekosistem pembayaran yang memberangsangkan, boleh dipercayai, cekap serta inovatif," katanya.

Bagi pembayaran mudah alih, katanya bank mendapati bahawa terdapat peningkatan kerjasama antara pengeluar wang elektronik dengan penyedia perkhidmatan kewangan lain.

Pada tahun 2022, katanya BNM mengeluarkan empat dokumen dasar untuk memperkukuh ekosistem pembayaran dan perniagaan perkhidmatan wang (MSB) bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan pembayaran, mengukuhkan perlindungan pengguna dan mengekalkan keyakinan orang awam.

Dasar-dasar tersebut ialah wang elektronik, pengendali sistem pembayaran, langkah untuk meningkatkan keselamatan mesin khidmat tunai termasuk ATM dan rangka kerja pengawasan ejen bagi MSB.

"Bank kekal memberikan tumpuan pada inisiatif untuk meningkatkan penerimaan pembayaran digital di Malaysia dengan memelihara keyakinan terhadap keselamatan dan kemudahan membuat pembayaran digital," katanya.

Menurut BNM dalam laporan tersebut, inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan pembayaran, pihak berkuasa persekutuan dan tempatan, serta pihak berkepentingan merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti sektor runcit, pendidikan dan pelancongan.

Pada tahun 2022, katanya bank mempergiat usaha untuk menghasilkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan mudah yang sejajar dengan sasaran global yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju G20 untuk Menambah Baik Pembayaran Rentas Sempadan.

"Jalinan sistem pembayaran segera (IPS) Malaysia dengan IPS antarabangsa strategik yang lain telah mencapai tahap kemajuan yang ketara. Setakat ini, bank telah melaksanakan jalinan pembayaran dengan Indonesia, Singapura dan Thailand iaitu negara yang mempunyai hubungan ekonomi yang erat dari segi perdagangan, pelancongan dan pengiriman wang dengan Malaysia," katanya.

Jelas BNM, usaha juga sedang dijalankan untuk mewujudkan jalinan pembayaran dengan Filipina.

Pada tahun 2023, BNM berkata ia akan meneruskan usaha untuk memastikan perkhidmatan pembayaran dan pengiriman wang utama kekal selamat, cekap dan boleh dipercayai yang dipandu oleh objektif yang terkandung dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

"Bank akan memantau perkembangan pasaran dengan teliti dan melaksanakan dasar atau campur tangan penyeliaan bersesuaian untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi serta akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam sektor awam dan sektor swasta," katanya.

Tambahnya, usaha ini adalah penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang manfaat dan risiko bagi perkhidmatan pembayaran baharu yang semakin berkembang, serta menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA