TransNusa lancar penerbangan terus Jakarta-Pulau Pinang mulai 24 November ini

Laluan TransNusa ke Pulau Pinang itu turut mencerminkan komitmen dan kesiapsiagaan kerajaan negeri untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan TransNusa Aviation mengumumkan pelancaran laluan penerbangan terus antara Jakarta dan Pulau Pinang bermula 24 November ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, penerbangan sulung itu menandakan kemasukan rasmi TransNusa ke pasaran Pulau Pinang, sekali gus membuka satu lagi pintu masuk antarabangsa ke negeri ini.
“Kerajaan Pulau Pinang telah menerima makluman daripada TransNusa Aviation berhubung penerbangan terus antara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta, Indonesia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bermula 24 November ini.
“Pelancaran laluan baharu ini menambah lagi hubungan antara Pulau Pinang dan Indonesia serta memperkukuh keterhubungan udara serantau selain mengeratkan hubungan budaya serta rakyat dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, laluan TransNusa ke Pulau Pinang itu turut mencerminkan komitmen dan kesiapsiagaan kerajaan negeri untuk menerima lebih ramai pelancong antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penerbangan yang beroperasi di bawah kod penerbangan 8B-633 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 5.30 pagi waktu tempatan, dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada 9 pagi.
Sebagai permulaan, penerbangan itu beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat sebelum menjadi operasi harian bermula Disember ini, manakala penerbangan pulang berlepas dari Pulau Pinang pada 9.30 pagi dan tiba di Jakarta pada 10.55 pagi waktu tempatan.
Hon Wai berkata, tahun 2026 turut diisytiharkan sebagai Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia yang menjadikan laluan itu penting bagi memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan perubatan.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelancongan perubatan paling berjaya, menyumbang kira-kira 45 peratus kepada jumlah keseluruhan hasil pelancongan perubatan negara.
“Indonesia konsisten sebagai pasaran sumber terbesar negara bagi pelancongan perubatan, menyumbang kira-kira 65.8 peratus daripada hasil pelancongan perubatan negara dan sehingga 90 peratus kepada perjalanan penjagaan kesihatan di utara Malaysia.
“Selain daripada segmen perubatan, Indonesia juga telah lama kekal sebagai ketibaan antarabangsa teratas Pulau Pinang iaitu 284,364 pelawat menerusi penerbangan antarabangsa dari Januari hingga September lepas, meningkat 2.5 peratus daripada 277,533 bagi tempoh sama tahun lepas,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


