Pakar kajian politik dan diplomasi yakin bahawa Presiden pilihan Amerika Syarikat, Donald Trump tidak akan membatalkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun beliau pernah menyatakan niat tersebut sewaktu pilihan raya.

Presiden Persatuan Malaysia Untuk Pengajian Amerika Syarikat (MAAS), Prof Dr K.S. Nathan berkata Amerika Syarikat akan mengalami kerugian jika mereka membatalkan TPPA kerana pengaruh ekonomi China, terutamanya di benua Asia semakin meningkat.

Beliau yang ditemui selepas berkongsi pendapat di majlis 'Diskusi Panel Donald Trump, Amerika Berpecah dan Dunia Terancam: Pandangan Awal dan Jangkaan' pada Rabu berkata institusi kerajaan AS tidak akan membenarkan Trump untuk membatalkan perjanjian tersebut sesuka hatinya.

"Kita tidak boleh buat keputusan muktamad bahawa Trump akan membatalkannya. Kemungkinan masih ada ruang untuk runding semula beberapa bahagian yang Trump rasa tidak akan menguntungkan Amerika Syarikat kerana TPPA adalah satu rangka perdagangan bercorak antarabangsa dan mengandungi banyak pihak berkepentingan.

"Ia bukan sahaja melibatkan AS dan Malaysia tetapi juga rakan AS, rakan Malaysia dan seluruh benua Asia Tenggara. Saya melihat ini sebagai satu cubaan pengimbangan kuasa di rantau ini memandangkan China juga sedang meningkat naik dan mereka mempunyai kerangka perdangangan sendiri bagi mengembangkan ekonominya," katanya.

Apabila ditanya mengenai reaksi segelintir masyarakat di AS yang merusuh dan menentang pentadbiran Trump, Nathan menjelaskan bahawa rusuhan tersebut tidak akan kekal lama kerana mereka tidak mempunyai semangat yang cukup untuk meneruskannya.

Tambahnya, rakyat AS harus mengubah corak gerakan mereka jika mereka benar-benar serius dalam menentang Trump.

Pada 15 Nov lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan AS dan negara lain yang terlibat dalam perjanjian tersebut.

Calon Republikan Trump dipilih sebagai Presiden AS menggantikan Barack Obama setelah menang pilihan raya presiden apabila beliau mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton.

Trump yang dikenali sebagai calon presiden penuh kontroversi itu telah beberapa kali mengugut untuk menghantar pulang migran-migran AS, terutamanya masyarakat Islam.

Trump, calon Republikan, mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton, dalam saingan sengit untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-45, dengan melakukan kejutan besar selepas mengharungi apa yang digambarkan sesetengah pihak sebagai kempen yang pahit dan ada kalanya buruk.