Presiden 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata tugasnya di syarikat itu sudah selesai.

"Tugas saya adalah untuk mengenalpasti masalah, mencari penyelesaian dan memastikan semua yang terbabit kekal fokus," katanya dalam temubual dengan Bloomberg.

"Pada pendapat saya, tugas saya sudah selesai. Semuanya sudah ditandatangani. Penjanjian undang-undang sudah tersedia, semua terikat. Saya tinggalkan syarikat itu dengan dana yang ada," katanya.

Temubual yang diadakan pada Rabu itu disiarkan hari ini.

"Tugas yang saya lakukan adalah lebih daripada apa yang sepatutnya saya lakukan. Perkara-perkara seperti penyiasatan dan hal-hal berkaitan politik, semuanya berlaku selepas saya bersetuju menyertai syarikat," katanya lagi.

Kata Arul Kanda, salah faham tentang 1MDB berlaku apabila masalah dalam urusan perniagaan dicampuradukkan dengan politik, sehingga menjadi alat untuk pembangkang menyerang kerajaan.

Beliau juga memberitahu Bloomberg bahawa syarikat itu tidak memerlukan wang daripada pemegang saham untuk sampai ke tahun 2039 di mana ketika itu bon paling akhir akan matang.

Diminta memberi komen tentang isu tanah 70 ekar Tun Razak Exchange yang penuh kontroversi, Arul berkata syarikat akan mengekalkan tanah itu untuk melangsaikan bon-bon tertunggak.

"Kenapa saya tak mahu jual sekarang? Kerana saya fikir nilainya semakin lama akan semakin meningkat," jelasnya.