Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad, berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Proton petang tadi.

Dengan peletakan jawatan itu, Dr Mahathir turut menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi Group Lotus Plc, anak syarikat milik penuh Proton.

Proton dalam kenyataannya juga merakamkan penghargaan terhadap Dr Mahathir atas sumbangan, komitmen serta dedikasi sebagai Pengerusi sejak 2014 dan Penasihat sejak 2003.

Syarikat berkenaan juga menyatakan ucapan terima kasih mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pengasas syarikat.

Syarikat itu juga menghormati hasrat Dr Mahathir untuk meletakkan jawatan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di blognya chedet.cc, Dr Mahathir turut mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), berkuatkuasa pada 30 Mac 2016.

Kenyataan itu menyebut keputusan Dr Mahathir sudah dimaklumkan kepada Reaktor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim.

Selain itu, Tun Mahathir juga telah meletakkan jawatan sebagai Penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).