KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd mencatatkan penyusutan 15.2 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM91.54 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024, daripada RM107.91 juta setahun sebelumnya di tengah-tengah caj cukai yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang terlibat dalam enam sektor teras, merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM210.76 juta berbanding RM200.77 juta sebelumnya, disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi sektor automotif dan perkhidmatan.

Hasil turut meningkat 5.6 peratus kepada RM4.33 bilion daripada RM4.10 bilion sebelumnya, dengan semua sektor teras menunjukkan hasil yang lebih baik, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Pemilik jenama Proton dan Modenas itu berkata sektor automotif kekal sebagai penyumbang hasil utamanya, mencatatkan kenaikan 0.8 peratus kepada RM3.05 bilion terutamanya disebabkan oleh volum jualan yang lebih tinggi.

Sektor perbankan kumpulan, iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd menyaksikan hasil yang meningkat sebanyak 34.6 peratus kepada RM510.41 juta disebabkan peningkatan pendapatan pembiayaan, didorong oleh peningkatan dalam volum pembiayaan yang dikaitkan dengan pertumbuhan mampan dan asas pelanggan yang berkembang.

"Selain itu, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus pada Mei 2023 menyumbang kepada prestasi kukuh sektor ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, sektor aeroangkasa dan pertahanan mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 11.4 peratus kepada RM187.79 juta, berikutan meningkatnya penghantaran produk pesawat lorong tunggal dan bahagian-bahagian pesawat, katanya.

Sektor pos, yang diwakili oleh Pos Malaysia Bhd, mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 4.6 peratus kepada RM291.23 juta, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan melnya.

Sektor perkhidmatan, yang merangkumi daripada pemeriksaan kenderaan kepada pengangkutan udara, hasilnya meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada RM216.65 juta. Ini disumbang oleh perniagaan katering dalam penerbangan dengan jumlah penyediaan hidangan yang lebih tinggi, dan perniagaan pengendalian darat, yang sejajar dengan meningkatnya jumlah penerbangan.

Mengenai prospek, DRB-Hicom berkata ia mengekalkan "unjuran yang memuaskan" untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

-- BERNAMA