KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Maxis Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023) turun kepada RM993 juta daripada RM1.15 bilion pada TK2022.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM10.18 bilion daripada RM9.79 bilion setahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia telekomunikasi bersepadu itu berkata jumlah hasil meningkat empat peratus manakala pendapatan perkhidmatan asas, tidak termasuk perkhidmatan suara borong dengan margin rendah yang ditamatkan pada suku keempat 2022 (S4 2022), meningkat 4.2 peratus dari tahun ke tahun (y-o-y).

Bagi S4 2023, untung bersih syarikat turun kepada RM56 juta daripada RM233 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM2.74 bilion daripada RM2.55 bilion sebelumnya.

Maxis berkata, hasil perkhidmatannya meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada RM8.57 bilion didorong oleh pertumbuhan dalam mudah alih dan gentian pengguna, bersama dengan ketersambungan perusahaan dan penyelesaian digital.

Ini menghasilkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM3.96 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) dinormalisasi sebanyak RM1.35 bilion.

PAT meningkat tiga peratus tahun ke tahun selepas kesan dan pelarasan Cukai Makmur TK2022 dan penyelesaian cukai pada TK2023.

Hasil pascabayar pengguna meningkat sebanyak 7.5 peratus disebabkan daripada rangkaian pelan pascabayar yang meluas.

Hasil bagi prabayar pula secara relatifnya stabil pada RM2.6 bilion untuk TK2023.

Maxis merekodkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM813 juta pada TK2023, manakala aliran tunai bebas operasi pada TK2023 adalah lebih rendah, dipengaruhi oleh cukai yang lebih tinggi yang dibayar ke atas Cukai Makmur pada S1 2023, penyelesaian cukai pada S4 2023 dan bayaran pendahuluan kepada Digital Nasional Bhd di bawah perjanjian langganan saham bersyarat pada Disember 2023.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham, menjadikan dividen setahun penuh kepada 16 sen sesaham.

-- BERNAMA